Rai secara adil keindahan tulisan jawi
SHAH ALAM - Keindahan sistem tulisan setiap kaum termasuk jawi perlu diraikan dengan lebih adil untuk dihayati bersama demi pembentukan negara bangsa.
Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita), Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, sekiranya Bengkel Penulisan Kaligrafi Tahun Baru Cina anjuran Majlis Perwakilan Penduduk Zon Lembah Pantai dan Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pandai mampu mendapat sambutan pelbagai kaum selain kaum Tionghua, tulisan jawi juga wajar memperoleh mandat yang sama.
Menurutnya, rakyat negara ini harus memahami konteks bahawa pembelajaran jawi juga diangkat demi perpaduan dalam negara dan memupuk semangat muhibah tanpa mengira fahaman politik dan agama.
"Tulisan jawi perlu diangkat dan dibengkelkan untuk menjadikan salah satu konteks pembentukan negara bangsa. Tidak perlu bimbang tentang motif pengislaman atau sebagainya.
"Apa yang saya nampak ia tidak sepatutnya menjadi isu besar kerana ia hanya satu sistem tulisan sahaja.
"Seni keindahan tulisan untuk setiap kaum sepatutnya dirai secara adil kerana setiap tulisan ada keindahan tersendiri sama ada tulisan jawi mahupun tulisan Cina," katanya kepada Sinar Harian.
Kelmarin, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil turut menghadiri Bengkel Penulisan Kaligrafi Tahun Baru Cina itu yang diadakan di Bangsar.
Penganjuran itu disifatkan mampu memupuk perpaduan antara kaum apabila turut mendapat penyertaan daripada kaum lain.
Perkara itu menimbulkan pertikaian netizen yang mempersoalkan mengapa pembelajaran tulisan jawi dijadikan isu.
Mengulas lanjut, Kok Seong berkata, dalam nasional berdepan isu pembelajaran jawi, bengkel penulisan jawi yang sepatutnya diberi keutamaan.
Bagaimanapun beliau memahami konteks penganjurannya sempena meraikan Tahun Baru Cina.
"Sepatutnya tulisan jawi itu yang diangkat supaya diberi penerangan yang lebih terperinci tentang sejarah tulisan jawi sebagai warisan negara.
"Saya berharap pada masa akan datang penganjuran bengkel seumpama itu dapat dilaksanakan dengan memberi fokus kepada tulisan jawi," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Tulisan jawi: Perlu persetujuan 51 peratus ibu bapa, PIBG
Tulisan jawi: Siapa lebih berkuasa, kementerian atau PIBG?'Saya pun masih belajar menulis jawi'
Anwar kesal tindakan keterlaluan bantah tulisan jawi
Desakan halang tulisan jawi langgar Akta Hasutan: Mufti Perak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!