Sultan Ibrahim diyakini pimpin negara dengan bijaksana - Fahmi
KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yakin Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim akan memimpin negara dengan bijaksana serta memayungi rakyat jelata dengan penuh kasih sayang.
Beliau berkata, institusi Raja Berperlembagaan juga diyakini akan terus diperkukuh di bawah pemerintahan Sultan Ibrahim yang menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 hari ini.
Fahmi yang mewakili seluruh warga kementerian berkenaan turut merafak sembah ucapan selamat berangkat tiba kepada Sultan Ibrahim.
"Patik dan seluruh warga kerja Kementerian Komunikasi, dengan ini berikrar akan menumpahkan sepenuh taat setia dan juga dengan akur janji berkhidmat penuh dedikasi untuk raja dan negara," katanya dalam perutusan khas sempena keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong ke-17 disiarkan RTM.
Dalam siaran yang sama, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching bertekad untuk berkhidmat di bawah pemerintahan Sultan Ibrahim dalam membangunkan negara serta memberi khidmat bakti kepada rakyat.
"Sebagai Yang di-Pertuan Agong, Tuanku adalah payung rakyat serta negara dalam mendepani cabaran pada masa akan datang. Semoga Tuanku sentiasa sihat sejahtera dan mentadbir negara dengan bijaksana kepada kami rakyat Malaysia," katanya.
Terdahulu, Sultan Ibrahim melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara.
Sultan Ibrahim menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 semalam selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 31 Jan 2019. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!