Alya Iman kalis kecaman

Alya Iman menganggap ujian hidup yang dilalui sejak kecil telah mendewasakannya dan menjadi penguat semangat untuk mengharungi apa jua halangan yang datang. Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI SHUKOR
Alya Iman menganggap ujian hidup yang dilalui sejak kecil telah mendewasakannya dan menjadi penguat semangat untuk mengharungi apa jua halangan yang datang. Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

BAGI segelintir individu terkenal, kecaman demi kecaman yang diterima kadang kala merengut emosi dan mengganggu mental.

Namun bagi pelakon yang semakin meningkat naik, Alya Iman, ujian hidup yang dilalui sejak kecil telah mendewasakannya dan menjadi penguat semangat untuk mengharungi apa jua halangan yang datang.

"Hakikatnya, walaupun saya muda, baru menginjak ke usia 23 tahun Februari depan, tetapi saya dah lalui macam-macam dalam hidup.

"Pemergian kedua-dua ibu bapa (Allahyarham Azmil Mustapha dan Jamaliah Jamari), membesar dalam keluarga yang berpecah (ibu ayah bercerai), bekerja pada usia muda untuk membantu menyara ayah dan pelbagai lagi yang saya lalui membuatkan saya kental.

"Sampai tahap kalau ada perkara buruk yang datang, saya akan cakap pada diri sendiri, saya sudah lalui pelbagai situasi lebih sukar. Jadi apa yang seterusnya dan saya boleh lakukan," jawabnya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama terbaharu lakonannya, Layang-Layang Perkahwinan di sebuah restoran terkenal di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Meskipun pernah berdepan dengan pelbagai kecaman dan kata nista disebabkan keputusan hidup yang berbeza, Alya berkata, dia tidak pernah menyoal takdir tertulis buatnya.

No Image Caption

Malah pelakon yang hits menerusi drama bersiri Syurga Itu Bukan Mudah itu percaya, setiap orang pernah melalui ujian dalam hidup mereka.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai manusia biasa yang ada perasaan, saya pernah menangis tetapi tidak pernah mempersoalkan mengapa orang tidak menyukai saya.

"Bagi saya apa yang berlaku ada sebabnya dan semua itu (ujian) adalah normal," katanya yang tidak kisah menjadi sasaran kebencian orang lain kerana keberkesanan lakonannya.

Sementara itu, berkongsi penglibatannya dalam drama Layang-Layang Perkahwinan arahan Eyra Rahman yang diadaptasi daripada siri Layangan Terputus, Alya berkata, watak sebagai Suraya telah memberi cabaran buatnya.

Katanya, berbeza daripada karakter dirinya yang suka memendam rasa, Suraya pula sarat dengan emosi dan suka menunjukkan apa yang dirasai.

"Sejujurnya saya memang takut untuk menjayakan watak Suraya kerana watak itu sangat berat tetapi kak Eyra banyak membantu saya.

"Selain perlu marah, ada kalanya saya perlu menangis, tetapi Kak Eyra pesan jangan jadi diri sendiri, dalami karakter Suraya itu," jelasnya yang tidak kisah dibenci kerana karakter antagonis itu.

Selain Alya, drama yang disiarkan di saluran Astro Ria itu turut dibintangi Syukri Yahaya, Ezzanie Jasny, Keith Foo, Arash Mohamad dan Datin Nina Juren.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!