Eizlan Yusof letak politik, seni seiring
AKTOR dan pengarah, Datuk Seri Eizlan Yusof memilih untuk mengamalkan politik sihat ketika bertanding pada Pilihan Raya Umum KE-15 (PRU15) tahun lalu.
Katanya, beliau tidak suka menyerang pihak lawan menerusi kelemahan mereka dan masih mengekalkan hubungan baik biarpun sebelum ini berbeza parti politik.
"Saya utamakan politik sihat dan tidak cari kesalahan atau bantai pihak lawan. Atas sebab itu, mereka (pihak lawan) juga tidak melihat saya sebagai ancaman.
"Lagipun cara saya berpolitik bukan menyerang pihak lawan. Malah hubungan saya dengan YB Sabak Bernama (Kalam Salan) masih baik sehingga kini," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Meskipun tampak lebih aktif di kancah politik, pemilik nama sebenar Idris Md Yusof itu meletakkan karier seni dan politik seiring.
Bagaimanapun akibat salah faham itu, Eizlan mendedahkan pernah tujuh bulan sepi tanpa sebarang tawaran lakonan.
"Ikutkan saya sudah aktif dalam dunia politik sejak 20 tahun lalu, tetapi kebanyakan hanya di belakang tabir dan tidak terlalu menonjol.
"Bagaimanapun bila saya buat keputusan untuk ke depan (bertanding sebagai wakil rakyat), tawaran berlakon itu semakin kurang dan saya akur jika ada yang berpendapat saya kini sudah beralih ke bidang politik.
"Namun saya anggap ini sebagai perjuangan dan sebabkan saya yakin dengan prinsip itu, saya akan teruskan dan tidak akan mengalah," ujarnya.
Ditanya kemungkinan faktor usia juga menyumbang kepada tawaran yang semakin berkurangan, lelaki yang bakal menginjak ke usia 53 tahun Julai depan menolaknya.
Jelas Eizlan, tawaran berkurangan itu mula dirasai selepas bertanding pada PRU15.
"Sebelum ini tidak pula sampai tujuh bulan tiada tawaran berlakon. Cuma sejak tahun lepas baru menghadapi situasi ini.
"Cuma sekarang Alhamdulillah, sudah ada walaupun tak banyak. Insya-ALLAH saya akan muncul dalam filem Saka Perawan arahan Dr Ahmad Idham tidak lama lagi. Selain itu, dua lagi filem saya, Kerambit dan Padu juga jangka tayang tahun ini.
"Selagi diperlukan dan masih relevan, saya akan bersama industri. Kalau bukan sebagai pelakon, saya berharap boleh berikan khidmat sebagai pengarah dan penulis skrip," katanya.
Terdahulu, pada PRU15, Eizlan bertanding sebagai calon Gabungan Tanah Air (GTA) melalui Pejuang di Sabak Bernam. Bagaimanapun tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Kalam Salan.
Pada Jun tahun lalu, Eizlan menyertai Pas atas dasar keyakinan terhadap perjuangan parti di bawah PN.
Dalam perkembangan lain, Eizlan muncul sebagai duta produk jenama Anissa My Batik selain berkolaborasi mengeluarkan kurta untuk edisi Aidilfitri tahun ini.
Katanya, penerimaan rekaan kurta semakin mendapat perhatian dalam kalangan pengguna terutama apabila ia bebas digayakan pada bila-bila masa.
“Saya sudah lama menjadi pengguna tegar Anissa My Batik, alang-alang jadi duta, saya ambil kesempatan keluarkan kurta jenama sendiri pula, iaitu Joe Kurta by Eizlan Yusof.
“Setakat ini, kami mulakan promosi awal di KL East Mall sebanyak 1,200 helai dengan enam koleksi warna bagi melihat sambutan orang ramai.
“Harga asal adalah RM119 dan promosi selama dua minggu kami jual pada harga RM79 boleh didapati di beg kuning TikTok rasmi Anissa My Butik atau secara fizikal di KL East Mall dan Four Season, Kuala Lumpur,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!