Jururunding berusia 60 tahun jutawan pertama i-Rizq Plus
WALAUPUN berusia 60 tahun, namun tidak menghalang rezeki seorang jururunding, Azrin Mohd Azmi yang berjaya bergelar jutawan pertama menerusi kategori Cabutan Hadiah Utama Akaun Pelaburan i-Rizq Plus Bank Rakyat bagi tahun 2024.
Lelaki yang berasal dari Kuala Lumpur itu berjaya membawa pulang wang ganjaran sebanyak RM1 juta.
Menurutnya, hadiah yang diterima merupakan satu rahmat dan dia tidak terfikir menjadi insan bertuah dalam cabutan tersebut.
"Saya melabur dalam akaun i-Rizq Plus kerana tertarik dengan potensi keuntungannya dan ia antara yang terbaik dalam pasaran.
"Terima kasih Bank Rakyat dan saya akan terus melabur dalam akaun ini di masa hadapan," katanya dalam tayangan video Majlis Pengumuman Jutawan Pertama Akaun Pelaburan i-Rizq Plus di Menara Kembar Bank Rakyat, di sini pada Rabu.
Selain itu, pemenang tempat kedua, Datuk Amirul Rahman Abdul Rahim membawa pulang hadiah emas seberat 500 gram.
Bagi pemenang ketiga, Rohaya Mohammad menerima peratusan keuntungan dividen saham yang diisytiharkan selama lima tahun berdasarkan nilai saham berjumlah RM100,000 berserta hadiah wang tunai RM10,000.
Pemenang keempat, Mohamad Faiz Ibrahim memenangi peratusan keuntungan dividen saham berdasarkan nilai saham berjumlah RM50,000 berserta hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 bagi tahun pertama.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Mohammed Hanis Osman berkata, pelaksanaan produk berasaskan konsep Mudarabah yang diamalkan dalam akaun pelaburan tersebut menarik lebih ramai pengguna kerana keuntungan diterima adalah lebih baik.
Ujarnya, Bank Rakyat akan memperkenalkan lebih banyak produk berasaskan aset termasuk simpanan mahupun pelaburan.
“Produk i-Rizq Plus ini mempunyai pulangan berbeza daripada simpanan biasa kerana kita menggunakan konsep perkongsian aset dan setakat Disember tahun lalu kita sudah mempunyai 35,000 akaun dengan jumlah RM202 juta,” katanya.
Sementara itu, menurut Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak, walaupun keadaan pasaran tidak menentu, namun pihak mereka dapat menangani masalah tersebut menerusi sambutan menggalakkan bagi setiap produk yang ditawarkan kepada pelanggan.
Tambah beliau, pihak syarikat mempunyai cara dan kaedah tersendiri iaitu sentiasa bersama rakyat dan sentiasa membantu orang ramai yang memerlukan.
“Kami berharap setiap produk dapat kekal konsisten walaupun keadaan pasaran agak perlahan tetapi kita tetap berdiri teguh,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!