Taktik scammer, PDRM sahkan 'arrest warant' palsu
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan kewujudan 'arrest warant' (waran tangkap) yang dikeluarkan pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia.
Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, waran tangkap yang melibatkan Unit Khas Pasukan B-19 JSJK Bukit Aman tersebut adalah palsu.
Beliau berkata, PDRM mengesan penyebaran waran tangkap dihantar kepada mangsa melalui aplikasi WhatsApp dan Telegram yang kononnya dikeluarkan oleh pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Putrajaya.
"Menurut 'arrest warant' (waran tangkap) berkenaan, satu arahan telah dikeluarkan kepada PDRM untuk mengambil tindakan segera bagi menahan pesalah-pesalah dan serta kesalahan-kesalahan yang dinamakan dalam tempoh 24 jam.
"Isi kandungan 'arrest warant' berkenaan juga menyatakan Mahkamah Tinggi telah memberi kuasa kepada PDRM untuk melaksanakan arahan tersebut.
"Untuk itu, saya ingin menegaskan bahawa 'arrest warant' tersebut adalah palsu dan ia merupakan taktik scammer menipu orang ramai," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Rohaimi berkata, waran tangkap tersebut turut menyatakan bahawa pesalah yang ditahan juga tidak dibenarkan untuk diikat jamin oleh mana-mana pihak termasuk peguam.
Tambah beliau, penipuan itu juga memaklumkan aset-aset yang didaftarkan di atas nama pesalah juga akan dibekukan dan disita.
Selain itu menurut beliau, pesalah juga tidak dibenarkan untuk meninggalkan negara setelah tindakan diambil ke atasnya.
Tegas beliau, pihak JSJK Bukit Aman tidak pernah menerima 'waran tangkap'sedemikian.
Sebagai langkah berjaga-jaga, katanya, semua pihak diingatkan untuk tidak menuruti sebarang arahan yang diterima melalui waran tersebut serta individu tidak dikenali.
"Ia adalah salah satu elemen scam yang dipraktikkan bagi menipu orang ramai.
"Sebagai langkah pencegahan, orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada dan tidak mudah percaya kepada penerimaan sebarang dokumen yang tidak dipastikan kesahihannya," ujarnya.
Tambahnya, orang ramai diingatkan untuk melakukan semakan dengan agensi yang berkaitan sebelum membuat sebarang keputusan.
Kata beliau, sebarang pertanyaan atau pengesahan berkaitan kewujudan modus operandi baharu penipuan, orang ramai boleh menghubungi balai polis berhampiran atau mengemukakan pertanyaan kepada CCID infoline melalui talian 013-2111222.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!