Mangsa banjir di Terengganu berkurang kepada 463
KUALA LUMPUR - Sebanyak 463 orang daripada 149 keluarga berlindung di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Dungun, Terengganu setakat 4 petang ini.
Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), jumlah itu adalah sedikit penurunan berbanding 473 orang daripada 157 keluarga pagi tadi.
Sementara itu, tinjauan di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapati paras beberapa sungai di Johor, Kedah, Pahang, Perlis dan Terengganu berada pada tahap bahaya setakat 4 petang ini.
Situasi itu melibatkan Sungai Johor di Kota Tinggi (Johor), Sungai Kedah di Kota Setar (Kedah), Sungai Pahang di Bera dan Cameron Highlands serta Sungai Rompin di Rompin (Pahang), Sungai Arau (Perlis) dan Sungai Terengganu di Hulu Terengganu (Terengganu).
Nadma turut memaklumkan 17 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak serta jalan dan cerun runtuh antaranya Jalan Boh di Cameron Highlands, Pahang; Jalan Petri Jaya di Kota Tinggi, Johor; Jalan Raya Timur Barat Kupang-Gerik Jeli di Hulu Perak, Perak dan Jalan Sungai Sok - Chucuh Puteri di Kuala Krai, Kelantan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!