MBSJ sedia 25 lokasi bazar Ramadan libat lebih 1,500 tapak

Gambar hiasan. Foto Bernama
Gambar hiasan. Foto Bernama
A
A
A

SUBANG JAYA - Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menyediakan 25 lokasi Bazar Ramadan melibatkan 1,560 petak mengikut zon pada tahun ini.

Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, ia melibatkan zon Subang Jaya, Kinrara, Puchong, Putra Heights, Serdang dan Seri Kembangan.

Menurutnya, lokasi dan jumlah peniaga Bazar Ramadan MBSJ kali ini ditambah susulan keadaan ekonomi semakin baik selain memberi peluang kepada peniaga menambah pendapatan.

"Sesi cabutan undi petak Bazar Ramadan MBSJ tahun 2024 telah diadakan pada 22 dan 26 Januari lalu di MBSJ dengan sebanyak 14 lokasi bazar Ramadan sahaja yang terlibat dalam sesi cabutan undi petak bazar pada kali ini," katanya pada Mesyuarat Penuh Bulanan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pada Rabu.

Sementara itu, Bazar Ramadan Taman Puchong Prima 5/4 akan dipindahkan ke lokasi baharu iaitu di Jalan 5/1.

Katanya, operasi bazar Ramadan itu sebelum ini berdepan aduan membabitkan isu halangan dan kesesakan lalu lintas.

Menurutnya, perubahan lokasi itu bagaimanapun tidak melibatkan pengurangan jumlah peniaga di kawasan berkenaan.

"Sebelum ini terdapat isu kereta orang awam terpaksa diangkut kerana diletakkan di tapak bazar selain masalah kesesakan serta gangguan kepada operasi premis berhampiran.

Artikel Berkaitan:

"Pemindahan ke lokasi baharu dijangka mengatasi permasalahan tersebut di samping MBSJ akan menambah baik kawalan penguat kuasa di sana," katanya.

Katanya, pada tahun ini, MBSJ turut mengambil inisiatif mengumpulkan peniaga berselerak ke satu tapak bazar yang lebih tersusun dan bersih.

Beliau turut memberitahu, galakan pemakaian pelitup muka, kempen tiada penggunaan plastik dan polistirena serta penguatkuasaan larangan meninggalkan barang niaga selepas tamat operasi bazar akan diteruskan.

Pada masa sama katanya, Karnival dan Taklimat Bazar Ramadan MBSJ akan diadakan bertujuan mengingatkan semula syarat-syarat dan peraturan yang perlu dipatuhi terutama tentang pematuhan SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), kerajaan Selangor dan MBSJ.

Katanya, penganjuran karnival itu juga sebagai meningkatkan kesedaran aspek pengendalian makanan terbaik dan efektif, amalan kitar semula, pengurusan sisa dan penggunaan sumber yang cekap.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!