Kelantan mahu keluarkan kawasan REE dari KSAS
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan masih berhasrat untuk mengeluarkan kawasan yang mengandungi mineral unsur nadir bumi (REE) dari kawasan sensitif alam sekitar (KSAS) di negeri ini.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, perkara itu hanya dapat dilakukan menerusi pengubahsuaian KSAS.
Menurut beliau, sehubungan itu pihaknya meneruskan kajian dan meneliti cadangan pengubahsuaian KSAS seperti yang diketahui umum.
“Kami jumpai REE yang ada di sesetengah tempat dalam KSAS, tetapi apabila dilihat kawasan itu mengikut kriteria sebenarnya bukan KSAS pun.
“Ini yang kami cuba hendak dikeluarkan dari KSAS dan prosesnya berjalan,” katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.
Beliau ditemui selepas Majlis Penyerahan Sijil Pentauliahan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) Kepada Pusat Latihan dan Syarikat SLDN-TVET Tahfiz Pertanian Kerajaan Negeri Kelantan: Gerakan Pertanian al-Falah.
Mohamed Fadzli mengulas lanjut, KSAS mempunyai tahap-tahapnya dan ada KSAS Tahap 1 dan Tahap 2.
“KSAS Tahap 1 memang kami takkan sentuh.
“Selainnya, untuk perkembangan proses pendengaran awam selesai dan sedang dilihat serta hasil seterusnya akan dimaklumkan nanti,” kata beliau.
Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan Orang Asli dilaporkan tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana dibimbangi memberi implikasi besar seperti menjejaskan dasar untuk capai 50 peratus keluasan tanah berhutan di semenanjung selaras dengan polisi Rancangan Fizikal Negara (RFN) selain risiko banjir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!