Kerajaan tekad penuhi titah Sultan Ibrahim, capai status ekonomi berpendapatan tinggi
PUTRAJAYA - Kerajaan Perpaduan bertekad memenuhi iltizam dan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk membawa Malaysia mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, yang juga Menteri Komunikasi berkata, perkara itu dizahirkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Kabinet hari ini selepas Sultan Ibrahim melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara.
"Kerajaan Madani menyokong sepenuhnya dan mengalu-alukan titah Sultan Ibrahim yang ingin melihat negara ini meneruskan tadbir urus yang baik, telus, memacu ekonomi dan menumpukan segala usaha terhadap penaiktarafan hidup rakyat.
"Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar, kerajaan Madani akan terus tekad dalam memenuhi hasrat dan iltizam yang telah dititahkan oleh baginda serta kekal giat berusaha sebaiknya untuk membawa Malaysia mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau berkata, perkara itu juga merupakan hasrat jutaan rakyat yang ingin terus melihat kestabilan negara sekali gus memastikan kemakmuran, peluang dan masa depan lebih baik untuk semua.
Terdahulu, Sultan Ibrahim melafaz sumpah memegang jawatan dalam upacara penuh adat istiadat.
Baginda menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 semalam selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 31 Jan 2019.
Sementara itu, Fahmi berkata, Kerajaan Perpaduan dan rakyat menjunjung kasih atas pemerintahan Al-Sultan Abdullah.
"Sesungguhnya pandangan jauh lagi berwawasan telah dizahirkan oleh Al-Sultan Abdullah menerusi peranan penting baginda sebagai Raja Berperlembagaan telah membawa kepada kestabilan politik, sosial dan ekonomi seperti yang kita nikmati pada hari ini,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!