Kaki budak tersangkut pada kerusi di klinik
MERSING - Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun menempuh detik mencemaskan hampir 15 minit apabila kakinya tersepit di bahagian kerusi pelanggan sebuah klinik di daerah ini pada Rabu.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Pegawai Bomba Kanan II, Mohamed Zainuddin Ahmad berkata, laporan berkaitan kejadian diterima pada jam 10.48 pagi.
"Seramai 11 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Anggota menggunakan satu unit hidraulik sehingga kaki mangsa berjaya dikeluarkan. Operasi ditamatkan pada jam 11.17 pagi," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, difahamkan kanak-kanak itu bersama ibunya yang mengandung datang ke klinik berkenaan untuk membuat pemeriksaan kesihatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!