Percepat pendaftaran sekolah tahfiz: TMJ

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berharap proses pendaftaran sekolah tahfiz dapat dipercepatkan.

Menurutnya, langkah itu bagi memastikan bangunan-bangunan sekolah tahfiz selamat dan mengikut piawaian keselamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

"Bangunan-bangunan tersebut juga hendaklah mendapat Sijil Kelayakan Menduduki dan perlu juga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan Pihak Berkuasa Tempatan," katanya seperti dipetik dari laman Facebook rasminya HRH Crown Prince of Johor di sini hari ini.

Tunku Ismail berkata, sudah tiba masanya langkah itu dilaksanakan di Malaysia kerana bilangan sekolah tahfiz swasta semakin bertambah dan ada beberapa sekolah yang mengabaikan keselamatan pelajar.

"Saya percaya, kita semua masih ingat kejadian kebakaran sekolah tahfiz yang meragut nyawa 23 pelajar dan tenaga pengajar pada tahun 2017.

"Saya masih rasa sedih setiap kali teringat tentang kejadian tersebut. Kejadian tragis seperti itu tidak sepatutnya berlaku dan perlu dielakkan pada masa hadapan," katanya.

Beliau turut mengingatkan kepada kerajaan negeri mengenai titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebelum ini, bahawa semua sekolah tahfiz hendaklah berdaftar dan mendapat sijil pengiktirafan sebelum memulakan operasi di Johor.

"Kita bagai mempertaruhkan nyawa dan keselamatan pelajar-pelajar sekiranya peraturan-peraturan ini tidak dilaksanakan dengan tegas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!