MPN yakin keupayaan Sultan Ibrahim tangani cabaran ekonomi

Sultan Ibrahim berkenan berangkat sempena Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Balairung Seri, Istana Negara, hari ini. Foto Bernama
Sultan Ibrahim berkenan berangkat sempena Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Balairung Seri, Istana Negara, hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Profesor Negara (MPN) telah menzahirkan keyakinan terhadap keupayaan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim dalam menangani cabaran ekonomi Malaysia dengan berkesan.

Pengerusi MPN, Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata, Sultan Ibrahim dilihat memiliki kebolehan melontarkan cadangan bernas untuk ekonomi negara berdasarkan pemahaman baginda mengenai tuntutan ekonomi.

Beliau berkata, kepintaran Sultan Ibrahim dalam dunia keusahawanan serta kehebatan sebagai pemimpin di Johor telah terbukti dan merujuk pencapaian baginda seperti menghidupkan semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.

"Sultan Ibrahim mempunyai pemahaman yang mendalam mengenai tuntutan ekonomi. Baginda melihat dan memahami apa yang diperlukan oleh ekonomi jadi baginda akan mengutarakan beberapa cadangan yang begitu bermanfaat kepada ekonomi," katanya ketika menjadi tetamu program The Nation terbitan Bernama TV di sini hari ini.

Shamsul juga berkata, kemahiran keusahawanan Sultan Ibrahim boleh memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan di negeri-negeri seperti Sabah dan Sarawak dengan memfokus kepada isu seperti kemiskinan serta infrastruktur.

Beliau turut memuji Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah kerana memiliki latar belakang pendidikan dan hubungan yang erat dengan ahli akademik di Malaysia serta berharap baginda berkenan menyumbang kepada aspek politik, pentadbiran serta tadbir urus dari segi isu sosial secara umum.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan Sultan Ibrahim berlangsung di Istana Negara, Kuala Lumpur bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas tempoh pemerintahan baginda selama lima tahun sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 berakhir semalam. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!