Budak 5 tahun maut tertinggal dalam kereta di parkir hospital
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri selepas tertinggal dalam kereta kira-kira empat jam di kawasan parkir sebuah hospital di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang juga pegawai perubatan hospital berkaitan kejadian itu pada jam 8.01 malam.
"Hasil siasatan mendapati mangsa telah ditinggalkan oleh ibunya berusia 34 tahun secara tidak sengaja di dalam kereta jenis Axia selepas ibunya mengambil mangsa dari sebuah taska yang berdekatan dengan tempat kejadian pada jam 2 petang.
"Semasa ditinggalkan mangsa dalam keadaan tertidur dan enjin kereta dimatikan.
"Setelah dihubungi oleh suaminya barulah ibu mangsa yang juga pekerja hospital berkenaan menyedari kejadian tersebut kira-kira jam 6 petang," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohd Iqbal berkata, mangsa kemudian telah dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Shah Alam dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia setelah usaha menyelamatkan mangsa dijalankan.
"Bedah siasat yang dijalankan pada jam 2 petang, Rabu, keputusannya adalah 'pending laboratory investigations'.
"Pemeriksaan ke atas mangsa juga didapati tiada sebarang kecederaan luaran mahupun dalaman," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
"Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati semasa mengambil anak-anak mereka semasa pulang dari sekolah atau taska terutamanya yang masih kecil supaya kejadian seperti ini tidak berulang lagi.
"Mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi Inspektor Syer Aidid di talian 013-6544996," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!