Projek Sinar Baitul Ridha di Syria boleh didiami awal Mei

Laporan Sinar Harian 9 Disember lalu mengenai Projek Sinar Baitul Ridha di Al-Bab, Syria. Gambar kecil: Nik Justin
Laporan Sinar Harian 9 Disember lalu mengenai Projek Sinar Baitul Ridha di Al-Bab, Syria. Gambar kecil: Nik Justin
A
A
A

SHAH ALAM - Projek Sinar Baitul Ridha di Al-Bab, Syria yang dilaksanakan untuk mewujudkan penempatan kepada keluarga yang terkesan akibat tragedi gempa bumi pada Februari lalu boleh didiami pada awal Mei 2024.

Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, terkini proses pemilihan dan kenal pasti keluarga yang layak sedang dilakukan.

Katanya, keluarga yang paling terkesan akibat gempa bumi terutamanya orang tua dan anak kecil akan diberi keutamaan.

“Projek hasil kerjasama Sinar Karangkraf dan Syria Care ini dijangka siap sepenuhnya pada akhir bulan April dan boleh didiami pada awal Mei 2024.

"Kita akan beri keutamaan kepada mereka yang masih tinggal di dalam khemah.

“Perumahan ini merangkumi satu kawasan yang lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti elektrik, air serta dewan serba guna,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Pada 8 Februari tahun lalu, Sinar Karangkraf melancarkan tabung untuk disalurkan kepada mangsa gempa bumi di Turkiye-Syria dengan sasaran pengumpulan dana sebanyak RM250,000.

Tambah Nik Justin, pihaknya mempunyai perancangan untuk menambah bilangan perumahan bagi membantu mereka yang memerlukan di sana.

Artikel Berkaitan:

“Projek ini sebenarnya adalah hasil sumbangan rakyat Malaysia yang menyumbang ke tabung bencana tempoh hari.

"Kita telah berjaya membina semula ekonomi dan kehidupan komuniti mereka.

“Saya mendoakan agar projek ini akan berjalan lancar dan berjaya dihabiskan dalam masa yang ditetapkan,” ujarnya.