Tayar treler pecah punca nahas
KUALA KANGSAR - Tayar treler pecah dipercayai punca kemalangan lapan kenderaan hingga mengorbankan tiga nyawa di Kilometer 246.1 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Kuala Kangsar malam tadi.
Dalam kejadian sekitar jam 10 malam itu, mangsa maut dikenalpasti sebagai K Mahindren, 56, pemandu kereta jenis Honda BRV bersama dua penumpang wanita, K Aruna, 56, dan S Thavamalar, 52.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisoner Razali Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 10.20 malam membabitkan sebuah treler, lima kereta dan dua motosikal dengan jumlah keseluruhan 18 mangsa terlibat.
"Ketika kejadian semua kenderaan terbabit dari arah utara menghala ke selatan dan tiba di lokasi kejadian, dipercayai tayar hadapan sebelah kanan treler dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun telah pecah mengakibatkannya hilang kawalan.
"Keadaan menyebabkan kenderaan berat itu menghimpit penghadang besi jalan di lorong kanan sebelum berhenti pada jarak 100 meter di hadapan," katanya.
Menurutnya, ketika itu datang sebuah kereta dinaiki mangsa dari lorong kanan tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian belakang treler dan berpusing masuk ke lorong kiri.
"Pemandu dan dua penumpang kereta berkenaan disahkan maut di tempat kejadian, sementara tiga penumpang lain kesemuanya wanita masing-masing berusia 63 hingga 69 tahun parah dan patah tangan," katanya.
Beliau berkata, nahas telah mengakibatkan enam kenderaan lain yang datang dari arah belakang iaitu kereta jenis Perodua Axia, Toyota Inova, Proton Waja, Honda Jazz serta dua motosikal gagal mengelak dan saling merempuh.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiga maut nahas 7 kenderaan di Kuala Kangsar
Katanya, tiga penumpang wanita yang menaiki kereta Perodua Axia berusia 15 hingga 24 tahun turut parah, sementara pemandu lelaki berusia 26 tahun dan seorang lagi penumpang lelaki berusia 17 tahun cedera ringan.
"Penunggang dan pembonceng motosikal terselamat apabila hanya mengalami cedera ringan, lain-lain mangsa terlibat termasuk dua anggota tentera juga hanya mengalami cedera ringan.
"Kesemua mereka telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut," katanya.
Razali berkata, pemandu treler terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Waris si mati telahpun dimaklumkan akan kejadian ini dan mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat," katanya.
Kejadian itu telah menyebabkan aliran trafik dari Kuala Kangsar ke Terowong Menora sesak sejauh 7 kilometer akibat lorong kiri dan kanan yang terhalang.
Bagaimanapun aliran trafik kembali terkawal sekitar jam 3.40 pagi tadi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!