Cukup kuat untuk semak dan imbang
SHAH ALAM - Wakil rakyat pembangkang di negeri Kelantan terus berperanan sebagai semak dan imbang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan membawa suara rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim berkata, sebagai wakil rakyat yang berada di blok pembangkang, beliau sentiasa berfikiran positif dan percaya mampu membela nasib rakyat.
Beliau berkata, dengan adanya media sosial, perkara tersebut semakin mudah untuk dilaksanakan.
“Walaupun hanya dua orang pembangkang di Kelantan dan nisbahnya begitu jauh dengan wakil rakyat kerajaan, saya rasa suara kami berdua (bersama ADUN Galas, Mohd Syahbuddin Hashim) cukup kuat untuk semak dan imbang.
“Ia adalah satu perkara positif.
"Saya ingat lagi waktu pertama kali sesi soal jawab masa persidangan, saya ada buat hantaran di media sosial, ramai yang komen jelas menunjukkan kesungguhan mahu kami mewakili mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Kompleks Kumpulan Karangkraf sempena Jualan Gudang Karangkraf 2024 pada Selasa.
Dr Hafidzah memberitahu, sebagai wakil rakyat, beliau mempunyai peranan yang sangat besar.
“Saya sendiri tidak sangka memenangi pilihan raya negeri.
"Memang nak menyampaikan khidmat kepada rakyat dengan bersungguh-sungguh dan akan memegang amanah ini dengan baik agar dapat membangunkan Kota Lama.
“Masyarakat mahu lihat perubahan.
"Saya berazam selepas menang akan berkhidmat kepada semua rakyat tidak kira latar belakang kaum dan politik,” ujarnya.
Sementara itu, beliau menyifatkan Kumpulan Karangkraf sebagai sebuah syarikat yang sentiasa membawa aktiviti ilmiah untuk masyarakat.
“Pelbagai aktiviti menarik dekat di hati rakyat, antaranya Jualan Gudang.
"Tahniah, satu usaha yang sangat baik dalam melahirkan masyarakat berilmu,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!