'Kenyataan Hassan Karim minta UMNO ganti Ahmad Zahid kelakar'

Shaiful Hazizy
Shaiful Hazizy
A
A
A

ALOR SETAR - UMNO Kedah menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim yang meminta parti tersebut mengantikan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai kelakar.

Ketua Penerangannya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin mengakui terkejut dengan kenyataan tersebut yang keluar secara tiba tiba daripada seorang Ahli Parlimen PKR.

Menurutnya, kenyataan tersebut keluar pada saat Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih stabil dan beliau menganggap kenyataan itu sekadar untuk meminta perhatian sahaja terutamanya daripada orang awam.

"Nak kata Kerajaan Perpaduan makin lemah tidak juga.

Kalau makin lemah, tidak lah ramai ahli MP (Ahli Parlimen) pembangkang masuk ke kerajaan.

Sebab mereka yakin gabungan Zahid-Anwar kuat lah, mereka berani untuk sertai Kerajaan Perpaduan.

"Siapa Hassan Karim ini?

Saya yakin dia sendiri pun sedar yang dia tiada nama pun dalam arena politik terkini.

Artikel Berkaitan:

Jadi mungkin kenyataan ini adalah kenyataan minta perhatian, minta 'spotlight' daripada orang awam," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Hassan pada Rabu yang berpendapat UMNO perlu diterajui muka baharu dan tidak hanya 'menumpang dahan' Pakatan Harapan (PH) pimpinan Anwar Ibrahim yang diakuinya 'rapuh' berdepan PRU16.

Menurutnya, rombakan pemimpin baharu yang segar, berintegriti dan berkarisma dalam parti itu penting untuk mendapatkan undi Melayu.

Dalam perkembangan sama, Shaiful Hazizy berkata, turut terkejut apabila Hassan mendakwa kerajaan perpaduan sudah goyah.

Jelasnya, Kerajaan Perpaduan adalah sebuah kerajaan dengan lebih dua per tiga majoriti dan kali terakhir kerajaan mempunyai sokongan seperti itu adalah pada pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Kritikan-kritikan Hassan mengenai usaha-usaha kerajaan menunjukkan dia adalah seorang yang sangat populis.

Tindakan memansuhkan pencen, menarik subsidi adalah tindakan yang sewajarnya melihatkan status quo ekonomi semasa.

"Lambat laun mereka akan nampak juga sebab kenapa dan mengapa Kerajaan Perpaduan melaksanakan usaha-usaha tersebut yang pasti akan membawa limpahan ekonomi kepada rakyat," ujar beliau lagi.

Tambahnya, usaha kerajaan di bawah Anwar membanteras rasuah perlu disokong dan 'jerung-jerung besar' yang selama ini tidak berani disentuh pun disentuh oleh Perdana Menteri itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!