Nelayan lemas jatuh sungai ketika serbuan polis
BACHOK - Seorang nelayan ditemukan lemas selepas terjun ke sungai ketika melarikan diri daripada serbuan polis di Jeti Pengkalan Petah di sini, pada Rabu.
Mayat lelaki yang berusia 39 tahun itu ditemukan pada jam 7 malam.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, lelaki tersebut terjun ke sungai ketika OP Tapis Khas Se-Malaysia kira-kira jam 4 petang.
Katanya, operasi dijalankan sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kelantan bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Bachok.
“Semasa diserbu, lelaki itu bertindak melarikan diri dengan terjun ke dalam sungai dari bot nelayan yang dinaiki.
“Dia cuba berenang ke tebing sungai namun tenggelam,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini, pada Khamis.
Menurut beliau, operasi mencari dan menyelamat dijalankan dengan bantuan Pasukan Bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Bachok bagi mengesan mangsa.
Katanya, jasad lelaki itu ditemukan dalam jarak 10 meter dari lokasi dia terjun.
“Bagaimanapun dia disahkan meninggal dunia dan pengecaman mayat dibuat oleh abangnya.
“Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” kata beliau.
Ujar Mohamad Ismail, semakan polis mendapati lelaki terbabit mempunyai enam rekod berkaitan pemilikan dan penagihan dadah.
Dalam operasi sama, pihak polis juga berjaya menangkap empat suspek lain di Jeti Pengkalan Petah dan Jeti Kemasin.
“Masing-masing dua yang ditahan di setiap jeti itu disiasat mengikut Sekyen 15(1)(a) dan 12(2) Akta Dadah Berbahaya
“Kesemua suspek berusia antara 20-an hingga 40-an dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok untuk tindakan lanjut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!