Bomba terpaksa ambil masa lebih tiga jam ke lokasi kebakaran

Bilik tayangan sementara sekolah itu yang musnah 100 peratus dalam kejadian kebakaran. Foto JBPM
Bilik tayangan sementara sekolah itu yang musnah 100 peratus dalam kejadian kebakaran. Foto JBPM
A
A
A

LIPIS - Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terpaksa mengambil masa lebih tiga jam ke lokasi kejadian membabitkan kebakaran sebuah bilik tayangan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Sinderut dekat Kuala Lipis di sini pada Rabu.

Dalam kejadian tersebut, bilik tersebut musnah 100 peratus namun tidak membabitkan sebarang kehilangan nyawa.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pahang, Zulfadli Zakaria memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada jam 10.29 malam.

Menurutnya, seramai lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Kuala Koyan bersama dua jentera dan dibantu empat anggota BBP Raub dikerahkan ke tempat kejadian.

"Tiada akses jentera ke lokasi yang hanya boleh dilalui menggunakan pacuan empat roda.

"Pasukan terlibat mengambil masa tiga jam 17 minit untuk sampai ke tempat kejadian malah BBP Raub terpaksa berpatah balik kerana kenderaan mengalami kerosakan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ujarnya, pasukan terlibat menggunakan satu aliran salur bantu kira-kira 70 meter menggunakan sumber air terbuka.

"Kemusnahan membabitkan 100 peratus dan kebakaran tidak merebak ke bangunan lain," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Katanya, operasi tamat pada 4.53 pagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!