Bunuh teman wanita: Mahkamah tetap 21 Mac serah rekod telekomunikasi

Muhammad Fakrul (tengah) diiringi polis dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Besar, pada Khamis.
Muhammad Fakrul (tengah) diiringi polis dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Besar, pada Khamis.
A
A
A

SABAK BERNAM - Mahkamah Majistret Sungai Besar di sini, menetapkan 21 Mac ini bagi sebutan serahan rekod telekomunikasi telefon bimbit berkaitan kes seorang lelaki didakwa membunuh kekasihnya yang hamil empat bulan pada Mei tahun lalu.

Difahamkan, rekod semakan syarikat telekomunikasi itu antaranya melibatkan log panggilan telefon bimbit antara tertuduh, Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 21, dan mangsa.

Majistret Siti Hajar Ali memutuskan demikian selepas menerima permohonan pihak pendakwaan bagi penyediaan laporan berkenaan.

"Semakan telco (syarikat telekomunikasi) itu perlu disegerakan dan tempoh dua bulan untuk diperoleh dianggap lama," katanya pada Khamis.

Bagaimanapun Siti Hajar membenarkan semakan itu dibuat dalam tempoh sebulan setengah sahaja selepas prosiding itu dijalankan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Sofea Jaysal memaklumkan masih menunggu semakan rekod itu dan memohon tempoh dua bulan bagi proses penyediaan.

Peguam bela, Muhammad Nor Tamrin tiada bantahan dan menyerahkannya kepada mahkamah.

Muhammad Fakrul berbaju T putih sebelum itu tiba dengan sebuah kenderaan polis di mahkamah kira-kira jam 9.50 pagi Khamis.

Artikel Berkaitan:

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh seorang wanita berusia 21 tahun di Jalan Sungai Limau, Sungai Besar di sini, kira-kira jam 8.30 malam 22 Mei sehingga jam 8 pagi 23 Mei tahun lalu.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang lelaki didakwa bertindak kejam dengan membunuh dan membakar teman wanitanya yang hamil empat bulan di kebun kelapa sawit di Kampung Sungai Limau, Sungai Besar di sini.

Mangsa dibunuh kerana teman lelakinya mahu merahsiakan kehamilan selepas melakukan hubungan sulit bersama mangsa.

Mayat mangsa kemudiannya ditemui keesokan harinya selepas polis menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 8.15 pagi, 23 Mei tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!