Anjuran untuk memaafkan, tetapi tidak diwajibkan dalam agama
UNGKAPAN kemaafan begitu sukar untuk didengari berbanding perkataan maaf. Masakan tidak, ia sebenarnya lahir dari hati yang tulus, bukan hanya sekadar omongan pada bibir.
Ya, tiada manusia yang sempurna di muka bumi ini. Pasti ada kesilapan dilakukan di mana-mana.
Sedangkan segala kekhilafan tersebut pasti diampunkan oleh ALLAH SWT andai seseorang bertaubat, inikan pula kita sebagai hamba-NYA pula enggan memberikan kemaafan tersebut.
Namun, satu perkara harus diingat, kita hanyalah insan biasa yang tidak lari daripada fitrah. Meskipun bibir sudah menuturkan untuk memberi kemaafan, adakalanya masih ada tersisa dalam sanubari.
Ketahuilah bahawa memaafkan bukan sesuatu yang wajib.
Fakta itu dikutip daripada penulisan Ustaz Dr Muhammad Haniff Hassan yang disiarkan menerusi berita.mediacorp.sg.
Beliau berhujah dengan bait-bait kalamullah yang disebut dalam ayat 40, Surah al-Syura yang mana ALLAH SWT membenarkan sesiapa yang dizalimi untuk menuntut balasan setimpal dan menyifatkan memaafkan adalah lebih baik.
“Begitu juga dengan ayat 179, Surah al-Baqarah yang mana waris mangsa pembunuhan tetap diberi hak untuk memilih hukuman bunuh ke atas si pesalah bagi menuntut keadilan atau memaafkan,” katanya sebagaimana dipetik daripada laman web berkenaan.
Menguatkan lagi fakta itu apabila Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut memberikan pandangan sama.
Jelas pejabat mufti berkenaan, Islam menggalakkan agar kita memaafkan kesalahan orang lain.
“Bagaimanapun, seseorang juga diharuskan untuk tidak memaafkan kerana manusia itu mempunyai hak untuk membalas atau menuntut kembali sesuatu jika dia dizalimi dan diambil barang-barang kepunyaannya.
“Meskipun demikian, lebih utama untuk kita memaafkan kesalahan orang lain bagi menjaga kesucian hati dan jiwa,” katanya.
Seperkara lagi, perbuatan memaafkan, tetapi tidak boleh melupakan adalah suatu perkara yang sukar dielakkan.
Perkara tersebut turut diakui oleh pendakwah Ustaz Mohd Fauzi Mustaffa ketika dalam satu temu bual bersama Sinar Islam sebelum ini.
"Pepatah Inggeris pun ada menyebut 'Forgive but not forget'. Sedangkan masa kecil pun kita boleh ingat, apatah lagi perkara yang membuatkan kita sukar untuk melupakannya. Itu memang fitrah manusia.
"Melupakan itu bukan kerja kita. Itu adalah kerja ALLAH SWT. ALLAH tidak menyuruh kita melupakan, tetapi memaafkan. Bahkan, Nabi Muhammad SAW sendiri pun masih ingat lagi apa yang Abu Jahal dan musuh-musuh Islam lain lakukan terhadap Baginda.
"Begitu juga dengan para sahabat. Mereka masih ingat dengan penderitaan dan 'penderaan' dialami di Kota Makkah walaupun sudah berhijrah ke Kota Madinah," jelas beliau.
Sabda Rasulullah SAW: "Seorang Mukmin tidak akan jatuh ke dalam satu lubang dua kali." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis berkenaan, kata Mohd Fauzi, ia jelas menunjukkan bahawa peristiwa yang pernah menimpa diri kita itu boleh dijadikan pengajaran pada masa akan datang.
"Jika kita lupakan terus, nanti kita akan terjebak lagi (ke kancah yang sama). Sama juga dengan orang. Barangkali kita pernah ditipu seseorang, jadi pada masa akan datang, kita akan menjadi lebih berwaspada dengan orang tadi untuk mengelak berulangnya perkara yang sama," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!