Sorok syabu RM1.32 juta dalam tempat simpan ikan

Anggota Maritim Malaysia menemui bungkusan berisi dadah disyaki syabu susulan pemeriksaan di sebuah bot nelayan di Sekinchan, Selangor, Selasa lalu.
Anggota Maritim Malaysia menemui bungkusan berisi dadah disyaki syabu susulan pemeriksaan di sebuah bot nelayan di Sekinchan, Selangor, Selasa lalu.
A
A
A

SABAK BERNAM - Helah sekumpulan nelayan menyembunyikan dadah syabu bernilai RM1.32 juta di tempat simpanan ikan sebuah bot di jeti nelayan Sekinchan dekat sini terbongkar pada Selasa.

Dalam operasi kira-kira jam 8.30 malam itu dadah seberat 40.3 kilogram (kg) yang dipercayai untuk diseludup ke Indonesia berjaya dirampas.

Pengarah Agensi Peguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, tindakan dilakukan unit risikan dan pasukan geledah Kapal Maritim (KM) Bagan Datuk yang melaksanakan operasi harian bertindak memeriksa sebuah bot nelayan tempatan kelas C yang berada di jeti tersebut.

Abdul Muhaimin (kanan) menunjukkan bungkusan teh yang disyaki berisi dadah syabu susulan serbuan sebuah bot nelayan di Sekinchan, Selangor, Selasa lalu.
Abdul Muhaimin (kanan) menunjukkan bungkusan teh yang disyaki berisi dadah syabu susulan serbuan sebuah bot nelayan di Sekinchan, Selangor, Selasa lalu.

Menurutnya, semasa pemeriksaan dilakukan tiga lelaki termasuk tekong terjun ke dalam air dan dapat meloloskan diri.

"Bagaimanapun, kita berjaya menahan seorang lelaki Indonesia dalam pengaruh dadah yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sah.

"Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan dua guni berisi keseluruhan 38 bungkusan teh cina disyaki syabu yang disimpan di dalam petak simpanan ikan atas bot tersebut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Selangor pada Khamis.

Abdul Muhaimin berkata, siasatan awal mendapati suspek yang ditahan itu baharu bekerja dua minggu di bot terbabit.

Artikel Berkaitan:

Seorang lelaki Indonesia ditahan Maritim Malaysia selepas penemuan dadah jenis syabu di sebuah bot nelayan di Sekinchan, Selangor, Selasa lalu.
Seorang lelaki Indonesia ditahan Maritim Malaysia selepas penemuan dadah jenis syabu di sebuah bot nelayan di Sekinchan, Selangor, Selasa lalu.

Katanya, Maritim percaya kumpulan terbabit melakukan kegiatan penyeludupan dadah sebelum ini dengan menyalahgunakan bot nelayan yang dibenarkan beroperasi lebih 15 batu nautika (28 kilometer) dari pesisir pantai.

"Siasatan masih dilakukan untuk mengenal pasti sumber dadah itu diperoleh dan upah bagi setiap penghantaran dadah itu," ujarnya.

Tegasnya, kesemua barang rampasan termasuk bot dan suspek dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Selangor untuk siasatan lanjut.

"Ini merupakan rampasan terbesar sejak 2021 dan kes disiasat mengikut Seksyen Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!