Pemuda pukul nenek di tapak glamping didakwa

Muhammad Amirul Fathi (tengah) ketika dibawa keluar dari mahkamah Majistret di sini, pada Khamis.
Muhammad Amirul Fathi (tengah) ketika dibawa keluar dari mahkamah Majistret di sini, pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - Pemuda yang tular memukul warga emas di sebuah tapak glamping didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pada Khamis.

Muhammad Amirul Fathi Mohd Noor, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja memukul seorang warga emas, Tan Soo Ee, 77, menggunakan tangan sehingga menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 1.20 tengah ahri di belakang sebuah rumah di Batu 9 Pantai Kundor, Tanjung Kling, di sini, pada 28 Januari lalu.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin mencadangkan jaminan RM8,000 dikenakan terhadap tertuduh beserta syarat tambahan.

Tertuduh yang diwakili Peguam Nur Aminahtul Mardiah Md Nor dan Nurul Hafidzah Hassan merayu jaminan rendah dikenakan ke atas pemuda itu yang juga orang kurang upaya (OKU) kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya membantu nenek membersihkan tapak glamping.

Menurutnya, pergaduhan itu didakwa disebabkan provokasi dilakukan pengadu terlebih dahulu yang memukul neneknya menggunakan kayu selain terdapat unsur perkauman.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak boleh berjumpa atau menghubungi mangsa melalui apa juga medium sepanjang prosiding berlangsung.

Mahkamah turut menetapkan 21 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Sinar Harian pada Isnin lalu melaporkan polis menahan individu itu yang didakwa memukul warga emas wanita hingga terjatuh di sebuah tapak glamping di Tanjung Kling dekat sini Ahad lalu.

Video berdurasi 29 saat membabitkan pergaduhan jiran bersebelahan rumah itu tular di aplikasi X.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek ditahan pada jam12.10 tengah hari Isnin oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!