Peluang naik trem percuma di Putrajaya

Trem tanpa landasan akan digunakan sebagai tarikan sempena Hari Terbuka Putrajaya 2024 bermula 1 hingga 4 Februari ini. Foto Perbadanan Putrajaya
Trem tanpa landasan akan digunakan sebagai tarikan sempena Hari Terbuka Putrajaya 2024 bermula 1 hingga 4 Februari ini. Foto Perbadanan Putrajaya
A
A
A

PUTRAJAYA - Orang ramai berpeluang menaiki Transit Aliran Automatik (ART) atau trem tanpa landasan secara percuma sempena Hari Terbuka Putrajaya 2024 bermula 1 hingga 4 Februari ini.

Menerusi hantaran TikTok @Perbadanan Putrajaya, pengunjung yang ingin merasai pengalaman menaiki kenderaan tersebut boleh menaiki trem bermula di Dataran Putrajaya Presint 3 iaitu berhampiran hentian bas Istana Kehakiman.

Perkhidmatan tersebut bermula pada jam 8 pagi sehingga 10 malam dan pengguna digalakkan untuk berada 30 minit lebih awal di lokasi menunggu serta menurunkan penumpang.

Hantaran tersebut turut mendapat reaksi dalam kalangan netizen yang teruja untuk menaiki kenderaan itu.

Pengguna media sosial, @Mzainal berkata, jika perkhidmatan itu diperluaskan di beberapa negeri, ia akan menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa.

“Melaka, Kuala Terengganu, Langkawi dan Ipoh perlu ada kenderaan begini untuk menarik lebih ramai pelancong menggunakan pengangkutan awam,” katanya pada Khamis.

Menurut pemilik akaun @Niq, kenderaan tersebut berpotensi membantu penduduk Putrajaya untuk bergerak ke setiap destinasi dalam kawasan tersebut dan tidak terhad di beberapa kawasan sahaja.

“Andai kata ART ini digunakan sepenuhnya sebagai kenderaan awam di Putrajaya diharapkan boleh melalui semua kawasan terutama Dataran Putrajaya sehingga ke Dataran Gemilang,” tulisnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, pengguna bernama @Mozzel berkata, kenderaan tersebut tidak mampu menampung kapasiti pengunjung yang ramai dan perlu berhimpit-himpit dengan orang ramai.

“Kabin terlalu kecil. Kalau pergi mesti ramai orang. Susah nak beratur nanti berhimpit-himpit macam bas mini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!