Dua lelaki mengaku salah bergaduh di restoran
JOHOR BAHRU - Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan melakukan gaduh gempar di tempat awam pada minggu lalu.
S Lohes, 38, dan K Sivanathan, 40, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama empat yang masih bebas melakukan gaduh gempar dengan melakukan kekecohan dan bergaduh sehingga mengganggu ketenteraman awam.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Taman Impian Emas, Skudai sekitar jam 11.50 malam pada 26 Januari lalu.
Kedua-dua tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Nur Aqillah Ahmad Rofaei manakala tertuduh K Sivanathan diwakili peguam Amarpreet Singh.
Ketika prosiding, Amarpreet meminta agar anak guamnya yang merupakan peniaga gerai makan dikurangkan denda kerana menghidap penyakit pundi hempedu.
Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh didenda sebanyak RM500 setiap seorang
Pada 27 Januari, rakaman video kejadian pergaduhan memaparkan sekumpulan lelaki bergaduh di hadapan restoran di Taman Impian Emas tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh mengesahkan kejadian terbabit berlaku, namun memaklumkan tiada laporan dibuat oleh mangsa atau pun pihak terlibat ketika itu.
Dua hari kemudian, polis menahan dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan tersebut dan kemudian direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Dua lelaki urus rumah persundalan, dua wanita warga asing terbabit persundalan didakwa
Sementara itu, dalam kes berasingan dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Khamis atas pertuduhan mengurus atau menolong dalam pengurusan sebuah rumah persundalan, bulan lalu.
Pengakuan tidak bersalah oleh Lim Kup Nam, 59, yang tidak bekerja dan pemandu lori, Liew Ching Choy, 57, itu dibuat di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.
Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa bersama-sama menyimpan bagi maksud mengurus atau menolong dalam pengurusan sebuah rumah persundalan di Jalan Indah 12/8, Taman Bukit Indah di sini, pada 1 Januari hingga 25 Januari lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 373 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Umar Faiz Abdul Kohar tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh, namun mencadangkan jumlah RM15,000 setiap seorang sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara membenarkan mereka diikat jamin.
Peguam, Goh Sze Han yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon anak guamnya dibenarkan ikat jamin yang rendah memandangkan seorang daripadanya tidak bekerja, manakala seorang lagi hanya pemandu lori.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM13,000 masing-masing dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan lapor diri di balai polis sebulan sekali dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 4 Mac depan.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret pula, dua wanita warga Thailand didakwa mencari langganan bagi maksud persundalan di Jalan Indah 10/6, Taman Bukit Indah di sini, kira-kira jam 7.30 malam, 25 Januari lalu.
Tertuduh, Miss Konchanok Naleebut, 26, dan Miss U-Raiwan Sukha, 25, yang kedua-duanya warga Thailand mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Inggeris di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Di mahkamah sama, mereka turut mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana sebagai bukan warga Malaysia berada di negara ini tanpa pas atau permit yang sah.
Kedua-duanya boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali dan hendaklah dikenakan sebatan maksimum enam kali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqillah Ahmad Rofaei juga tidak menawarkan ikat jamin memandangkan kedua-dua tertuduh adalah warga asing, namun mencadangkan jumlah yang tinggi iaitu RM10,000 sekiranya mahkamah ingin membenarkan tertuduh dijamin.
Sze Han yang turut mewakili kedua-dua tertuduh bagaimanapun memohon ikat jamin dibenarkan dengan jumlah yang rendah.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 masing-masing dengan dua orang penjamin warga tempatan berserta syarat tambahan lapor diri di balai polis sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 7 Mac depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!