Rasuah JPJ RM500, dua lelaki dipenjara tiga hari, denda RM10,000

Seng Chaow (dua dari kanan) dan Pubalan (dua dari kiri) diiring pegawai SPRM ke mahkamah pada Khamis.
Seng Chaow (dua dari kanan) dan Pubalan (dua dari kiri) diiring pegawai SPRM ke mahkamah pada Khamis.
A
A
A

SEREMBAN - Penyelia kilang dan ejen syarikat ais dihukum penjara tiga hari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis atas pertuduhan memberi rasuah RM500 kepada pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada Selasa.

Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Yam Seng Chaow, 26, dan P Pubalan, 41, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan.

Mahkamah turut memerintahkan penjara empat bulan jika tertuduh gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh telah secara rasuah memberikan satu suapan iaitu wang tunai RM500 kepada seorang pegawai JPJ Negeri Sembilan.

Ia sebagai dorongan kepadanya untuk tidak melakukan sesuatu perkara yang berhubungan dengan hal ehwal prinsipalnya, iaitu tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap pemandu lori yang melakukan kesalahan memandu tanpa lesen memandu (CDL), tiada lesen kenderaan barangan (GDL) dan cukai jalan tamat tempoh.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah stesen minyak di Jalan Rasah di Seremban pada 30 Januari 2024.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Artikel Berkaitan:

Peguam M Siveram yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda dan penjara paling minimum dengan mengambil kira pengakuan bersalah mereka.

Siveram memaklumkan isteri Seng Chaow sedang hamil empat bulan dan memerlukan lelaki itu lebih-lebih lagi sambutan Tahun Baharu Cina bakal tiba tidak lama lagi.

Menurutnya, Pubalan pula adalah penanggung utama keluarga selain perlu menjaga seorang datuk yang uzur.

Pegawai Pendakwa SPRM, Azriff Firdaus Mohamad Ali telah memohon wang RM500 dilucut hak kepada kerajaan Malaysia dan ia kemudiannya dibenarkan mahkamah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!