Batalkan konsert Ed Sheeran, hormati pandangan mufti
SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor menyokong penuh pandangan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor yang menggesa kerajaan mengambil serius pandangan mufti sebelum membenarkan sebarang acara hiburan termasuk konsert diadakan.
Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital digesa menghormati fatwa dan pandangan mufti yang memberikan pandangan hukum hakam berkaitan syarak demi kebaikan umat Islam.
Menurutnya, kerajaan didakwa seolah tiada sensitiviti apabila membiarkan penganjuran konsert melibatkan artis luar negara yang didakwa menyokong aktiviti golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
"Pada 24 Februari 2024 ini akan berlangsung sebuah konsert antarabangsa, Ed Sheeran yang akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
"Mengapa mufti sangat risau dengan penganjuran konsert ini? Sudah tentu ada sebabnya.
"Ed Sheeran merupakan seorang individu yang jelas menyokong budaya luar tabii iaitu LGBT, malah pernah membalutkan dirinya dengan bendera pelangi yang cukup sinonim dengan kelompok LGBT sewaktu mengadakan konsert sebelum ini. Cukup bahaya, " katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Pada Rabu, Wan Salim memohon Kementerian Komunikasi mengambil kira dan menghormati pandangan mufti sebelum membenarkan sebarang acara hiburan termasuk konsert terutama mengenai larangan terhadap aktiviti LGBT.
Wan Salim meluahkan rasa kesal dengan penganjuran konsert membabitkan artis luar negara yang dikatakan penyokong tegar LGBT.
Sebagai negara yang majoriti penduduk beragama Islam, kerajaan sepatutnya tidak membuka ruang kepada penganjuran konsert artis pendukung amalan maksiat yang dilarang bukan sahaja oleh agama Islam, malah oleh semua agama
Dalam pada itu, Mohamed Sukri berkata, Pemuda Pas Selangor sebelum ini turut menentang keras penganjuran konsert Coldplay yang terkenal dengan pembawakan LGBT.
"Mengapa kerajaan seolah tidak serik dengan masih membiarkan artis luar yang terpalit dengan budaya songsang ini datang ke Malaysia?
"Rakyat Malaysia sungguh kecewa dengan pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini tidak ambil kisah dengan suara rakyat untuk membatalkan konsert Coldplay, malah lebih mengecewakan beliau sendiri mengalu-alukan kedatangan Coldplay ke Malaysia," katanya.
Ujarnya, Mufti Pulau Pinang bertindak tegas apabila memberikan pandangan untuk kebaikan ummah.
"Janganlah kerajaan dan pihak yang terlibat bersikap defensif untuk mempertahankan penganjuran konsert ini. Batalkan sahaja.
"Pemuda Pas Selangor turut menggesa kerajaan PH-BN menghormati nasihat yang diberikan oleh para mufti dan ulama.
"Sikap membakulsampahkan pandangan mufti ini menunjukkan PH-BN sebenarnya tidak ikhlas memperjuangkan Islam di tanah air tercinta ini. Itulah hakikatnya, " katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!