Permohonan lanjut reman tiga anggota trafik minta RM100 ditolak

Tiga anggota trafik yang terlibat dalam kes tular menerima wang suapan RM100 daripada pasangan pelancong warga UK dibawa ke lokap mahkamah.
Tiga anggota trafik yang terlibat dalam kes tular menerima wang suapan RM100 daripada pasangan pelancong warga UK dibawa ke lokap mahkamah.
A
A
A

IPOH - Mahkamah Majistret Ipoh pada Khamis menolak permohonan sambung reman dikemukakan polis terhadap tiga anggota trafik berhubung kes tular menerima wang suapan RM100 daripada pasangan pelancong warga United Kingdom (UK).

Majistret Siti Nora Sharif membuat keputusan itu setelah mendengar alasan yang dikemukakan oleh peguam, Muhammad Al-Hirzan Mahamad Akhir dan Aqmarul Aqil Ismail yang mewakili kesemua suspek.

Permohonan terhadap anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Perak itu dibuat Asisten Superintenden Fadli Ahmad bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan berhubung kes berkenaan.

Siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan, Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998.

Muhammad Al-Hirzan ketika ditemui media memaklumkan antara alasan permohonan terhadap anak guamnya yang berusia 37 hingga 42 tahun itu ditolak berikutan tiada mangsa yang tampil membantu siasatan selain mempunyai beberapa perkara teknikal lain.

Terdahulu, ketiga-tiga suspek yang bergari dan memakai baju berwarna gelap dibawa masuk ke kamar sekitar jam 1.18 petang sebelum keluar 40 minit kemudian.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri memaklumkan kesemua anggota terbabit dilepaskan dengan jaminan polis.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan tiga anggota trafik terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan dan direman selama tiga hari bermula Selasa lalu sehingga Khamis.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu tular rakaman video berdurasi 50 saat yang dimuat naik di laman X @doktorrezz memaparkan pasangan warga UK disaman oleh anggota polis trafik akibat kesalahan memandu laju.

Pasangan pelancong dikenali sebagai ‘UK Van Lifers’ telah ditahan disyaki di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands itu.

Dalam video berkenaan, anggota polis trafik itu memberitahu pasangan tersebut bahawa mereka memandu sekitar 80 kilometer (KM) sejam berbanding had laju yang dibenarkan iaitu 60 kilometer pada jam 11.30 pagi.

Susulan itu, pasangan berkenaan bersetuju untuk membayar secara tunai dan menyerahkan wang berjumlah RM100 tanpa diberikan surat saman.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!