Sindiket curi lembu tumpas, dua lelaki ditahan

Suspek menggunakan alat menyumpit dan ubat cecair pelali bagi melemahkan lembu yang dicuri sebelum diangkut menggunakan lori.
Suspek menggunakan alat menyumpit dan ubat cecair pelali bagi melemahkan lembu yang dicuri sebelum diangkut menggunakan lori.
A
A
A

JEMPOL - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket mencuri lembu di daerah ini selepas menahan dua lelaki disyaki terlibat dalam kegiatan berkenaan pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang penternak lembu pada jam 1.37 tengah hari mendakwa 12 ekor ternakannya hilang.

"Bertindak atas laporan itu, polis menjalankan siasatan dan berjaya menangkap dua suspek masing-masing berusia 42 dan 45 tahun di Serting Tengah dan Bandar Seri Jempol dipercayai terbabit dengan kejadian itu.

"Modus operandi digunakan oleh sindiket ini dengan menggunakan alat menyumpit dan ubat cecair pelali bagi melemahkan lembu yang dicuri sebelum diangkut menggunakan lori," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Katanya, lima ekor lembu milik mangsa yang hilang ditemui semula di dalam kandang di rumah salah seorang suspek manakala bakinya sudah dijual kepada kenalannya.

"Polis juga merampas barangan digunakan bagi mencuri lembu dan percaya tangkap ini dapat menyelesaikan kes membabitkan sindiket mencuri lembu.

"Kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula hari ini dan kita juga sedang mengesan seorang lagi ahli sindiket yang masih bebas. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.

.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!