Mahfud MD mundur dari Kabinet Jokowi
JAKARTA - Calon wakil presiden (cawapres) No Siri Tiga, Mahfud MD pada Rabu mengumumkan beliau telah menyediakan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Koordinator Politik, Undang-undang dan Keamanan (Menko Polhukam).
Menurutnya, ia akan disampaikan secara terus kepada Presiden Joko Widodo atau Jokowi setelah masa depan politik beliau terus menjadi topik perbincangan hangat.
“Saya sentiasa bawa surat itu ke mana-mana.
'Saya akan serahkan apabila bertemu Jokowi,” ujarnya.
Keputusan itu turut disambut baik pasangan regu beliau, Ganjar Pranowo yang menjadi calon presiden (capres) pada Pilihan Raya Presiden (Pilpres 2024) dijadualkan pada 14 Februari depan.
“Beliau menjadi contoh yang baik dan menjadi tanggungjawab yang lain untuk mengikut jejak langkahnya.
"Saya meminta pihak lain yang ada konflik berkepentingan pada Pilpres 2024 juga mengambil langkah sama.
“Saya memuji keputusan Mahfud.
"Anda mempunyai integriti,” ujar capres No Siri Tiga tersebut di Kabupaten Kubu Raya di Kalimantan Barat.
Capres No Siri Satu, Anies Baswedan juga menghormati pengunduran Mahfud daripada Kabinet Jokowi manakala capres No Siri Dua, Prabowo Subianto berpendapat keputusan itu sebagai hak politik.
Pengumuman Mahfud MD turut mendapat perhatian ramai termasuk Jokowi yang dilaporkan menerima dengan hati terbuka keputusan itu.
“Ia adalah hak beliau dan saya menghargainya,” kata pemimpin itu di Jawa Tengah sambil menambah bakal bersemuka dengan Mahfud selepas kembali semula ke Jakarta.
Sementara itu, Penyelaras Staf Khas Presiden, Ari Dwipayana mengesahkan tiada menteri lain yang akan mundur daripada Kabinet Jokowi buat masa ini.
“Roda pemerintahan berjalan lancar dengan para menteri berusaha menggalas tanggungjawab mereka dengan baik.
"Proses mentadbir kerajaan ini dilakukan untuk kepentingan masyarakat, bangsa dan negara,” jelasnya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!