Raja Charles III zahir ucapan tahniah kepada Sultan Ibrahim
KUALA LUMPUR - Pemerintah United Kingdom (UK), Raja Charles III dan Ratu Camilla menzahirkan ucapan tahniah kepada Sultan Ibrahim sempena pengisytiharan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 Malaysia.
"Ratu beta turut menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah pada hari Tuanku memulakan pemerintahan di Malaysia,” titah baginda dalam hantaran Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur di X pada Khamis.
Semalam, Sultan Ibrahim telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong baharu Malaysia dalam upacara yang penuh adat istiadat di Istana Negara di sini.
Sultan Ibrahim menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dari Pahang selepas tempoh pemerintahan baginda selama lima tahun sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 berakhir pada 30 Januari.
Raja Charles turut menzahirkan harapan untuk menjalin kerjasama dengan Sultan Ibrahim bagi memastikan agar hubungan antara Malaysia dan UK kekal utuh serta menangani isu yang mempunyai kepentingan bersama.
"Secara khusus, beta berharap kita akan terus menjalin kerjasama bagi menangani perubahan iklim dan mempertingkat kelestarian alam sekitar kerana ini adalah isu global yang memberi kesan kepada hidup kita pada masa akan datang,” titah baginda.
Raja Charles turut bertitah baginda masih ingat akan kunjungan ke Malaysia pada 2017 dan berharap dapat mengulanginya pada masa depan untuk meraikan hubungan rapat kedua-dua negara.
Pada 2017, Raja Charles yang ketika itu adalah Putera Wales serta Ratu Camilla telah berkenan berkunjung ke negara ini sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik UK dan Malaysia.
Sepanjang lawatan tujuh hari itu, pasangan diraja berkenaan berkenan melawat beberapa lokasi di Kuala Lumpur, Perak, Sarawak dan Pulau Pinang serta mengambil bahagian dalam pelbagai acara penting. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!