Khairulnizam belum mahu mengalah buru slot Olimpik
PELAYAR berpengalaman negara, Khairulnizam Mohd Afendy belum mahu mengibar bendera putih dalam misi memburu slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang berbaki 176 hari lagi.
Biarpun terlepas peluang untuk meraih tiket buat kali keempat dalam satu kejohanan di Australia pada Rabu, namun pemenang dua pingat perak Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 dan Incehon 2014 enggan mengalah.
Khairulnizam menamatkan saingan Kejohanan Dunia ILCA 7 Adelaide 2024 di tempat ke-33 dari 152 pelayar.
Berkongsi rasa di media sosial, biarpun tanpa bantuan Majlis Sukan Negara (MSN) atau Persatuan Pelayaran Kebangsaan, ia tetap menyuntik semangatnya untuk terus gigih berusaha berada dalam senarai kontinjen negara ke temasya terbesar dunia itu.
"Misi untuk melayakkan diri ke temasya Olimpik 'tertangguh', namun masih ada satu lagi peluang untuk melayakkan diri ke Olimpik di kejohanan 'Last Chance Regatta' pada bulan April nanti.
"Terima kasih buat keluarga yang sentiasa menyokong dan membantu terutamanya dari segi kewangan untuk menyertai kejohanan ini. Saya tidak menerima apa-apa bantuan kewangan dari MSN ataupun persatuan kebangsaan bagi kejohanan penting ini," katanya menerusi catatan di Facebook.
Di sebalik kisah perjuangan dan semangat berkobar-kobar itu, Khairulnizam tetap bersyukur kerana mendapat bantuan daripada jurulatih Thailand.
"Selain itu saya bersyukur kerana menerima bantuan dari jurulatih Thailand semasa latihan dan perlumbaan di sini kerana tiada jurulatih yang dihantar oleh MSN atau persatuan.
"Dengan pelbagai halangan dan dugaan saya masih lagi mampu untuk bersaing hingga ke perlumbaan terakhir dan hanya kurang empat mata untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik," katanya.
Pada penyertaan kali pertama di Olimpik London 2012 pelayar dari Kedah itu menduduki tempat ke-47 dari 49 peserta.
Pada temasya di Tokyo lapan tahun lalu, Khairulnizam yang beraksi dalam acara laser itu menamatkan saingan di kedudukan ke-28 dari 35 peserta, manakala dii Olimpik Rio pula, dia berada di tempat ke-35 dari 46 atlet.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!