Malaysia idam pingat emas pada WCWC2020
KANGAR - Malaysia sasar pingat emas pada Kejohanan Piala Dunia Woodball 2020 (WCWC2020) yang dijadualkan berlangsung di Perlis pada 24 hingga 30 Julai ini.
Presiden Persatuan Woodball Malaysia (MWA), Elaine Tan berkata, keyakinan tersebut berdasarkan peningkatan pencapaian pemain khususnya pemain baharu beberapa tahun kebelakangan ini, namun beliau tidak meletakkan sasaran jumlah pingat.
“Saya yakin Malaysia akan meraih beberapa pingat khususnya pingat emas,” katanya selepas hadir pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Persekutuan Woodball Antarabangsa (IWbF), MWA dan Persatuan Woodball Perlis (PWPs) di sebuah hotel di sini malam tadi.
Majlis itu disaksikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku penaung PWPs.
WCWC2020 yang julung kali diadakan di Perlis itu melibatkan lima vanue kejohanan iaitu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Pauh Putra; Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Behor Pulai; Kolej Matrikulasi Arau, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Arau dan Dataran Dato’ Sheikh Ahmad.
Sementara itu, Presiden PWPs, Profesor Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata, kira-kira 20 negara akan menyertai kejohanan ini dan dijangka lebih 3,000 orang akan turut serta menjayakan kejohanan ini.
"Antara negara yang mengesahkan penyertaan adalah Thailand, Taiwan, Korea Selatan dan Indonesia. Kita jangka lebih banyak lagi negara akan mengambil bahagian nanti," katanya.
“Untuk makluman juga, kita bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan WCWC ini juga turut menjadi salah satu kalendar acara dalam Tahun Melawat Malaysia 2020,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!