Uniknya Pilpres 2024, Jokowi tak sokong penuh calon parti sendiri
JAKARTA - [DIKEMAS KINI] Pilihan Raya Presiden Indonesia (Pilpres) 2024 kali ini unik dan mempunyai kelainan jika dibandingkan dengan Pilpres sebelum ini.
Pensyarah politik dari Universitas Profesor Dr Moestopo (Beragama) Jakarta, Dr Ryantori berkata, Pilpres kali ini berbeza kerana Presiden Jokowi tidak memberi sokongan sepenuhnya terhadap calon daripada partinya sendiri.
Sebaliknya, jelas Ryantori, Jokowi memberi dukungan kepada calon parti lain yang sememangnya dilihat sesuatu yang janggal daripada kebiasaan.
“Ada satu yang unik di sini di mana Jokowi terpecah dua, beliau daripada Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), tetapi dilihat lebih cenderung untuk memberi dukungan kepada calon daripada parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) iaitu Prabowo Subianto.
“Bahkan menjelang minggu-minggu akhir pemilihan pada 14 Februari ini, tidak terlihat Jokowi menyokong Pranowo yang merupakan calon daripada partinya sendiri (PDI-P),” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Mengambil contoh Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS), Ryantori berkata, perkara seumpama itu tidak pernah berlaku di sana kerana presiden semasa tidak akan memberi sokongan kepada calon daripada parti yang berbeza.
“Berbanding di AS, presiden yang masih berkuasa memang boleh memberi sokongan, tetapi semestinya memberi dukungan kepada satu aliran parti, Demokrat atau Republikan, bukan yang ‘berpindah’ Demokrat misalnya tetapi menyokong Republikan.
“Tetapi berbeza di Indonesia...Tidak terlalu terlihat Jokowi mendukung calon partinya sendiri, itu menarik untuk dilihat,” katanya.
Sementara itu menyentuh mengenai suasana kempen Pilpres 2024 pula, Ryantori berkata, pada pemerhatiannya, Pilpres kali ini dilihat berlangsung dalam keadaan hangat, namun tidak sepanas sepertimana pilpres sebelum-sebelum ini.
“Bagi saya ia masih ok, (masih berlangsung dengan baik) kerana kita masih berusaha untuk menjalankan pesta demokrasi ini dengan sebaiknya.
“Lagi satu tidak ada isu yang memanaskan seperti sebelum ini, yang ada menyentuh mengenai isu sensitif (agama) dan calon-calon yang bertanding kali ini juga ramai yang mempunyai gelaran haji, jadi tidak timbul isu-isu berkaitan ‘permainan’ agama dimainkan,” katanya.
Dalam pada itu tambahnya, dapat dilihat pada Pilpres kali ini rakyat mahukan pembaikan dari segi ekonomi dan baginya juga ketiga-tiga calon dilihat mempunyai misi yang sama untuk meningkatkan taraf ekonomi rakyat.
“Saya melihat sesiapapun yang bakal dipilih kelak mempunyai misi dan visi yang baik dari segi meningkatkan taraf ekonomi rakyat Indonesia, cumanya itulah apa yang rakyat mahu adalah pembaikan ekonomi lebih bersifat holistik,” katanya lagi.
Seramai 240 juta pengundi akan menunaikan tanggungjawab penting mereka dalam menentukan kepimpinan negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu pada 14 Februari depan.
Mereka akan mengundi untuk memilih presiden, wakil presiden, ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan wakil untuk badan legislatif.
Tiga calon presiden (capres) untuk pemilihan kali ini terdiri bekas jeneral tentera, Prabowo Subianto; bekas Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo dan bekas Gabenor Jakarta, Anies Baswedan.
Jika tiada pasangan calon yang memenangi lebih 50 peratus undi dengan sekurang-kurangnya 20 peratus undi daripada lebih separuh wilayah, pusingan kedua akan diadakan pada 26 Jun antara dua calon teratas.
Presiden dan naib presiden yang baru dipilih akan mengangkat sumpah pada 20 Oktober bersama ahli DPR.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!