Terengganu Hijab Day ingatkan tutup aurat ikut syariat
KUALA TERENGGANU - Sambutan Terengganu Hijab Day bertujuan memberi peringatan khusus kepada kaum wanita bagi menutup aurat mengikut ketetapan ALLAH SWT.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Islam tidak melarang untuk berfesyen tetapi pakaian yang dipilih dan dipakai perlulah selari dengan tuntutan syariat agama.
"Bagaimanapun, kaum lelaki termasuk diri saya perlu diingatkan bahawa kita juga mempunyai aurat yang perlu ditutup.
"Selain kita perlu berperanan dalam menjaga saudara-saudara wanita dan tidak jemu menasihati mereka dengan penuh berhikmah," katanya menerusi kenyataan di Facebook rasminya pada Jumaat.
Ahmad Samsuri turut mengucapkan selamat menyambut Terengganu Hijab Day 2024 kepada seluruh rakyat negeri itu.
"Semoga dengan memakai pakaian yang menutup aurat ini dapat menjadi perisai yang melindungi diri kita terutama wanita Muslimah daripada pandangan yang tidak baik.
"Selamat Menyambut Terengganu Hijab Day 2024 kepada saudara-saudaraku bersempena Hari Hijab Sedunia," ujarnya.
Program Terengganu Hijab Day 2024 akan diadakan di semua daerah di Terengganu bermula 3 Februari sehingga 19 Februari 2024.
Kemaman merupakan daerah pertama yang diadakan program tersebut di Pantai Teluk Mok Nik bermula jam 4 petang pada Sabtu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!