SKYWORTH sasar nilai jualan RM100 juta
PENERAJU teknologi dalam menyediakan produk inovatif mampu milik, Skyworth Development Malaysia Sdn Bhd (SKYWORTH) menyasarkan nilai jualannya berjumlah RM100 juta menjelang akhir tahun ini berbanding RM97 juta pada tahun lepas.
Pengurus Besar Jualannya, Bernard Gan Kiat Siong berkata, sasaran itu mampu dicapai berikutan strategi syarikat untuk mengeluarkan produk baharu dan promosi yang berterusan sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran Malaysia.
Beliau berkata, setakat ini, SKYWORTH mempunyai beberapa unit simpanan stok (SKU) dalam pasaran Malaysia antaranya 25 model televisyen, sembilan peti sejuk, tiga mesin basuh, empat ‘chest freezer’.
“Kami juga mempunyai 173 rakan kongsi perniagaan di seluruh negara pada tahun lepas.
“Pada tahun 2024, kami merancang untuk menambah dua lagi model baharu televisyen, tiga model peti sejuk, dua mesin basuh dan bakal mengeluarkan penyaman udara untuk memenuhi permintaan pelanggan kami.
“Kami akan memfokuskan kepada strategi pemasaran dan pelaburan untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai dan promosi yang agresif mengenai rangkaian produk SKYWORTH,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Pelancaran Eksklusif Produk 2024 di sini pada Khamis.
Turut hadir, Pengarah Jualan dan Pemasaran SkyWorth, Kang Ban Thai; Pengurus Besar dan Pengarah Urusan Skyworth Malaysia, Cocu Li.
Bernard berkata, nilai jualan televisyen telah menyumbang kepada 90 peratus pendapatan syarikat dan berkeyakinan rangkaian perkakasan rumah lain akan meningkat pada tahun ini.
“Kami mengunjurkan nilai jualan rangkaian perkakasan rumah akan meningkat sebanyak 25 peratus berbanding sebelum ini sekali gus memacu jenama SKYWORTH untuk menjadi pilihan utama di negara ini,” katanya.
Sementara itu, Ban Thai berkata, SKYWORTH sentiasa percaya kepada pengalaman mendalam sejak penubuhan enam tahun yang lalu.
"Perjalanan kami dimulakan dengan visi untuk mentakrifkan semula bagaimana orang terlibat dengan teknologi, signatur 'EYE CARE TV ' kami telah diterima dengan baik oleh pasaran sehingga menjual lebih daripada 50,000 unit sejak dilancarkan," katanya.
Rangkaian model televisyen SKYWORTH yang terkenal ialah QLED Eye Care Google TV, 4K Goole TV, 4K Android TV, 2K Android TV dan Digital TV.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!