Perubatan tradisional, alternatif antara penyumbang kematian akibat kanser - Pakar

Pakar Onkologi HKL, Dr Tang Shir Ley ketika ditemu bual di Jabatan Radioterapi dan Onkologi HKL, baru-baru ini.
Katanya, di HKL, kira-kira satu pertiga daripada pesakit kanser memilih rawatan alternatif atau tradisional, atau tanpa rawatan disebabkan oleh banyak faktor.
-- fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
Pakar Onkologi HKL, Dr Tang Shir Ley ketika ditemu bual di Jabatan Radioterapi dan Onkologi HKL, baru-baru ini. Katanya, di HKL, kira-kira satu pertiga daripada pesakit kanser memilih rawatan alternatif atau tradisional, atau tanpa rawatan disebabkan oleh banyak faktor. -- fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pada 2019, Farah (bukan nama sebenar) mengesan ketulan pada payudaranya dan di hatinya terdetik yang ketulan itu mungkin kanser.

Gerak hati pensyarah dalam bidang kemanusiaan itu ternyata benar. Dua orang doktor yang ditemuinya selepas itu mengesahkan dia menghidap kanser payudara tahap tiga.

Doktor mahukan dia memulakan rawatan pada kadar segera, iaitu menjalani pembedahan dan kemoterapi.

Ketika itu tumor pada payudara Farah sudah besar dan mungkin merebak ke nodus limfa atau tisu lain.

Bagaimanapun situasi itu masih boleh diurus dan peluang survival juga agak tinggi pada 59.7 peratus.

Farah bersetuju untuk memulakan rawatan, namun suaminya menghalang.

"(Farah) sudah pasti akan jalani (rawatan konvensional). Dia tahu mengapa dia harus jalani rawatan itu. Namun dia dalam keadaan serba salah,” cerita sahabat dan juga bekas rakan sekerja Farah yang hanya mahu dikenali sebagai Emilia.

Menurut Emilia lagi, si suami mahukan Farah mencuba perubatan tradisional, dan dalam kes Farah, rawatan melibatkan pengamal perubatan tradisional yang disyorkan oleh seorang rakan yang turut menjamin ubat-ubatan herbanya dapat membantu Farah pulih daripada kanser.

Artikel Berkaitan:

"Selepas itu, Farah mendapatkan pandangan saya dan katanya,' Aku bukan (tidak mahu dirawat) cuma aku perlu pastikan keputusan aku ini turut mengambil kira pandangan keluarga. Individu yang paling penting bagi aku sekarang adalah suami. Aku lakukan ini demi dia',” kongsi Emilia, memetik kata-kata sahabatnya itu.

Mesin tomoterapi 'Radixact Treatnebt Delivery System' untuk merawat pesakit kanser dengan efisyen di Jabatan Radioterapi dan Onkologi HKL. Foto Bernama
Mesin tomoterapi 'Radixact Treatnebt Delivery System' untuk merawat pesakit kanser dengan efisyen di Jabatan Radioterapi dan Onkologi HKL. Foto Bernama

Selepas menjalani rawatan tradisional selama kira-kira enam bulan, Farah yang digambarkan oleh Emilia sebagai seorang yang mengutamakan kegembiraan orang lain serta sukar berkata "tidak”, kembali berjumpa doktornya setelah rawatan tradisional tidak memberikan hasil yang dijanjikan.

Dia mula menjalani rawatan konvensional, namun tempoh senggang enam bulan yang digunakan untuk rawatan tradisional itu memburukkan keadaan penyakitnya.

Ketika itu, kansernya telah melarat ke tahap empat dan merebak ke organ dan bahagian lain tubuhnya.

Menurut Cleveland Clinic yang berpangkalan di Amerika Syarikat, peringkat ini turut dikenali sebagai metastatik atau kanser peringkat lanjut.

Kira-kira dua tahun selepas didiagnosis, Farah meninggal dunia sebelum hari jadinya yang ke-50, setelah kanser itu merebak dari payudaranya ke tulang.

Selain suami, dia meninggalkan seorang anak perempuan berusia empat tahun.

Kisah Farah ini adalah cerita biasa dalam kalangan pakar onkologi dan pengamal perubatan berkaitan kanser.

Kisah-kisah sebegini membuatkan mereka terkilan - kanser dikesan awal dengan peluang survival yang agak tinggi, namun pesakit memilih rawatan alternatif atau tradisional sehinggalah keadaan sudah terlambat.

Ketika dunia menghitung pencapaian dan kerugian akibat kanser pada Hari Kanser Sedunia yang ditetapkan pada 4 Februari, para doktor mengetengahkan bahaya bergantung pada perubatan tradisional atau alternatif bagi merawat kanser, yang mungkin merupakan antara punca kadar survival lima tahun Malaysia tidak sebagus seperti yang sepatutnya, terutama jika dibandingkan dengan negara seperti China (yang juga negara berpendapatan sederhana tinggi seperti Malaysia), Singapura, Korea dan Jepun.

Walaupun pihak berkuasa perubatan mengiktiraf manfaat perubatan tradisional dan alternatif dalam keadaan tertentu, mereka juga menegaskan manfaat perubatan itu hanya sebagai pelengkap.

Menurut mereka, tujuan perubatan terbabit bukan untuk menggantikan rawatan konvensional, tetapi hanya bagi membantu pesakit menangani kesan sampingan rawatan kanser.

KADAR KES KANSER

Paparan sejenis kanser dapat dilihat melalui skrin yang ditunjukkan pada sesi temu bual bersama pakar-pakar kanser dan kanser payudara di Jabatan Radioterapi dan Onkologi HKL baru-baru ini.
-- fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
Paparan sejenis kanser dapat dilihat melalui skrin yang ditunjukkan pada sesi temu bual bersama pakar-pakar kanser dan kanser payudara di Jabatan Radioterapi dan Onkologi HKL baru-baru ini. -- fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menurut Registri Kanser Kebangsaan 2012-2016, seorang daripada 10 lelaki Malaysia berdepan risiko sepanjang hayat untuk menghidap kanser, sementara bagi wanita pula adalah seorang daripada sembilan individu.

Kanser payudara merupakan jenis paling banyak dihidapi secara keseluruhan dan juga bagi wanita, iaitu 34.1 peratus daripada 115,238 kes yang direkodkan, manakala kanser kolon atau usus mendominasi kaum lelaki pada 14.8 peratus.

Keputusan kajian lima tahun terkini dijangka dikeluarkan tahun ini.

Berdasarkan Malaysian Study on Cancer Survival (MyScan) yang diterbitkan pada 2018, kadar survival lima tahun - iaitu jumlah pesakit yang masih hidup selepas lima tahun didiagnosis - bagi kanser payu dara adalah 66.8 peratus sementara kanser usus pula 56.8 peratus.

Rekod Malaysia tidak sebaik China, Singapura, Korea, Jepun dan Australia.

China misalnya, merekodkan kadar survival kanser payudara pada 80.4 peratus. Begitu juga kadar survival untuk kanser lain.

Bagaimanapun bagi kanser usus, kadar yang dicatatkan oleh Malaysia tinggi sedikit berbanding China. Kadar survival kanser Malaysia juga lebih tinggi berbanding Thailand dan India.

Pada masa lalu, pihak berkuasa kesihatan menyalahkan kurang kesedaran serta akses dan ketersediaan rawatan sebagai punca kematian akibat kanser, memandangkan kebanyakan kes dikesan terlalu lewat.

Sejak turun-temurun, Malaysia, sepertimana negara tetangganya di Asia, bergantung dan percaya pada perubatan tradisional dan alternatif bagi mengubati serta menyembuhkan sebarang penyakit, seperti yang dinyatakan dalam kertas kerja bertajuk "Traditional and Complementary Treatments among Malay, Chinese and Indian Chronic Diseases: A Systematic Review” [https://medic.upm.edu.my/upload/dokumen/2019042916050626_0053(Final)26.pdf]

(Kertas kerja ini ditulis oleh ahli akademik daripada Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia yang diterbitkan dalam Malaysian Journal of Medicine and Health Sciences pada April 2019.)

Seiring peredaran masa, rawatan kanser juga semakin maju dengan sesetengah ubat-ubatan mampu merawat tumor secara langsung, bergantung pada jenis kanser. Misalnya, kanser tahap empat lazimnya bererti "hukuman mati”, namun kini ramai pesakit yang masih hidup selepas lima tahun didiagnosis, kata doktor.

Tahap kesedaran juga bertambah baik, berdasarkan laporan anekdot pakar onkologi yang menyatakan mereka melihat lebih ramai individu datang melakukan saringan kanser pada usia lebih muda.

KISAH-KISAH "PERJUANGAN”

Akan tetapi, situasi pesakit kanser memilih rawatan tradisional selepas didiagnosis masih menjadi perkara biasa, kata pakar onkologi klinikal, Dr Eznal Iswadi Mohd Mahidin daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Yang biasa saya hadapi ialah pesakit (beritahu saya) ‘Saya nak cuba dulu beberapa bulan, selepas itu baru saya nak buat imbasan CT. Jika (rawatan alternatif) tidak tunjukkan hasil, barulah saya ikut nasihat doktor’,” kongsi beliau.

Ketika mereka "tunggu dan lihat” itu, ketumbuhan kanser semakin besar.

"Akhirnya kita akan jumpa semula pesakit ini tiga bulan (kemudian) dan mereka inilah yang pada awalnya di tahap dua, tetapi, disebabkan oleh penangguhan itu, telah bertambah teruk sama ada di tahap tiga atau empat,” katanya.

Dr Eznal Iswadi Mohd Mahidin. Foto Bernama
Dr Eznal Iswadi Mohd Mahidin. Foto Bernama

Menurut Dr Eznal, isu sekarang bukan tentang ketersediaan rawatan perubatan, kerana katanya, walaupun beliau beritahu pesakit yang mereka boleh mulakan rawatan pada keesokan hari, pesakit yang berhasrat menggunakan kaedah tradisional atau mereka yang langsung tidak ada perancangan rawatan, tetap enggan menjalani rawatan konvensional.

Setiap pakar onkologi mempunyai kisah pesakit sedemikian yang menghantui mereka hingga ke hari ini. Dr Hafizah Zaharah Ahmad, pakar perunding onkologi di Sunway Medical Center Velocity (SMCV) misalnya, berkata beliau masih ingat dengan jelas kisah seorang penghidap barah rahim walaupun kes itu telah lama berlaku.

"Dia di tahap satu, berusia 50 tahun lebih. Yang dia perlukan cuma pembedahan. Itu sahaja. Tidak perlu jalani kemoterapi atau radioterapi,” kongsinya kepada Bernama.

Akan tetapi, pesakit itu tidak muncul bagi menjalani pembedahan dan langsung tidak dapat dikesan sehinggalah rakan sejawatan memberitahu Dr Hafizah bahawa pesakit itu telah ke hospital kerajaan bagi mendapatkan rawatan setahun kemudian. Pada masa itu, pesakit telah berada di tahap empat.

Tegas beliau, walaupun tahap empat tidak lagi bermakna "akan berakhir dengan kematian”, kemungkinan untuk pesakit pada tahap itu bebas kanser adalah rendah. Tambah Dr Hafizah, beliau telah banyak kali berdepan dengan situasi sedemikian.

"Ada masa anda rasa (kecewa) apabila anda lihat pesakit menolak rawatan yang berpotensi menyelamatkan nyawa, dan kemudian, setahun kemudian, mereka datang balik namun telah dalam keadaan terlantar,” katanya.

Tambah beliau, penghidap kanser rahim yang dimaksudkannya itu telahpun meninggal dunia.

MENGAPA PILIH PERUBATAN ALTERNATIF?

Sebagai kemudahan swasta, jumlah dan kategori pesakit yang mendapatkan rawatan kanser di SMCV adalah berbeza berbanding hospital kerajaan seperti HKL.

Hospital swasta lebih berkecenderungan menerima pesakit daripada kumpulan berpendapatan tinggi, sementara hospital kerajaan menjadi tumpuan pesakit daripada kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana.

Jumlah pesakit hospital swasta juga lebih kecil berbanding hospital kerajaan. SMCV merekodkan 1,580 pesakit kanser pada 2023, sementara HKL menerima lebih 25,000 pesakit setahun, termasuk kira-kira 3,700 kes baharu.

Oleh yang demikian, saiz jurang pesakit yang mendapatkan lawatan alternatif di antara hospital swasta dan kerajaan adalah agak besar.

Dr Hafizah berkata tidak sampai lima peratus pesakitnya memilih untuk menjalani rawatan tradisional selepas didiagnosis.

Katanya, keadaan itu mungkin disebabkan oleh kecenderungan pemilihan memandangkan pesakit yang pergi ke hospital swasta bagi mendapatkan rawatan lebih bermotivasi untuk pulih.

Di hospital kerajaan pula, pesakit mungkin hanya ingin tahu masalah kesihatan yang mereka hidapi tanpa sebarang hasrat untuk merawatnya.

Di HKL, kira-kira satu pertiga daripada pesakit kanser memilih rawatan alternatif atau tradisional, atau tanpa rawatan disebabkan oleh banyak faktor, kata Dr Tang Shir Ley, pakar onkologi HKL.

"Mereka begitu takut pembedahan. Selain itu, ada stigma yang signifikan tentang kemoterapi di Malaysia,” kata beliau.

Antara kesan sampingan lain akibat rawatan tersebut ialah keguguran rambut sementara, mastektomi serta perlu memakai beg kolostomi yang agak mengganggu kehidupan bagi kebanyakan orang.

Beliau berkata masyarakat ada kecenderungan berkongsi kisah-kisah menakutkan tentang kesan sampingan kemoterapi, sekalipun majoriti pesakit tidak menghadapi masalah besar.

Sesetengahnya pula tidak mengambil kira jenis kanser dan tahap kanser itu apabila bercerita tentang kesan sampingan.

"Mereka menjadikan penyakit yang dihidapi oleh seseorang itu berpunca daripada rawatan, bukan kerana kanser,” katanya.

Akibatnya, rasa takut mendorong pesakit memilih rawatan tradisional dan alternatif, dengan harapan mereka dapat pulih daripada kanser menerusi pengambilan campuran herba yang kononnya ada manfaat antikanser.

"Yang sedihnya, adakala itu bukan keputusan pesakit. Sebaliknya mereka menerima tekanan keluarga, pasangan atau waris terdekat,” kata Dr Eznal.

"Jika (perubatan alternatif) berhasil, kita pastinya akan preskripsikan rawatan itu,” kata Dr Tang, menambah memulakan rawatan secepat mungkin bukan hanya meningkatkan peluang untuk pesakit pulih tetapi juga lebih murah.

Drug imunoterapi untuk rawatan kanser misalnya, boleh menelan belanja hingga RM28,000 sebulan.

Bagi pesakit di hospital kerajaan, tempoh rawatan kanser tahap satu bukan sahaja singkat tetapi juga murah kerana kerajaan memberikan subsidi bagi kos perubatan.

REDA

Kos rawatan bukan penghalang dalam kes Farah, sebaliknya kebimbangan si suami yang Farah akan meninggal dunia akibat komplikasi pembedahan mempengaruhi semua orang.

Akhirnya, dia menjalani pembedahan itu selepas enam bulan didiagnosis, namun sudah terlambat untuk menghalang kanser daripada merebak.

Farah meninggal dunia ketika negara masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Disebabkan oleh PKP juga dia dan Emilia hanya dapat berkomunikasi melalui WhatsApp, menyebabkan Emilia tidak tahu keadaan sebenar Farah. Emilia juga tidak berpeluang menghadiri pengebumian Farah.

Pada awalnya, Emilia diselubungi rasa kesal mengenangkan rakannya itu, namun kini dia reda serta tidak lagi diburu rasa bersalah kerana tidak dapat bersama-sama Farah pada bulan-bulan terakhir hayatnya.

Dia yang baru saja berpindah ke ibu negara selepas mendapat pekerjaan baharu sebagai pensyarah, turut merancang untuk menziarahi pusara Farah dalam masa terdekat. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!