Isu pemilikan akaun kanak-kanak bawah umur dibincang dengan TikTok
KUANTAN - Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, isu pemilikan akaun TikTok oleh kanak-kanak bawah usia 13 tahun antara isu dipertimbang untuk diutarakan kepada pengurusan platform media sosial tersebut.
Beliau berkata, terdapat sedikit kerisauan berhubung pemilikan akaun TikTok oleh golongan terbabit selain garis panduan komuniti media sosial tersebut menyatakan kanak-kanak bawah usia 13 tahun tidak dibenarkan untuk membuka akaun di platform itu.
"Tetapi berdasarkan pengalaman, termasuk mereka di kawasan saya (Parliman Lembah Pantai), ramai pelajar sekolah rendah yang ada akaun TikTok. Ini suatu keadaan yang amat menggusarkan dan merisaukan.
"Ada beberapa trend yang tidak baik yang kita lihat tular di media sosial termasuk TikTok dan kanak-kanak boleh terikut.
"Saya rasa kita perlu awasi apa yang anak-anak layari bila menggunakan Internet.
"Kita mungkin perlu memanggil pengurusan TikTok untuk mendapatkan penjelasan dari segi penguatkuasaan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjung hormat ke atas Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Wisma Sri Pahang di sini pada Jumaat.
Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.
Selain itu, Fahmi berkata, beliau juga akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara jika perlu mengambil tindakan perundangan terhadap pengurusan TikTok berhubung pemilikan akaun oleh kanak-kanak, seperti yang telah dilakukan negara luar.
Ditanya jika TikTok telah melakukan penambahbaikan selepas dinyatakan pematuhan operasinya terhadap undang-undang Malaysia masih tidak memuaskan dan perlu diperbetulkan sebelum ini, Fahmi berkata: "Mereka telah memperbaik, namun tindakan berkaitan sedang diteliti bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
"Kita sudah ada beberapa pertemuan dengan Jabatan Peguam Negara dan sedang teliti beberapa aspek dan akan bawa satu memorandum Jemaah Menteri untuk diputuskan sebelum kita mengambil tindakan," katanya.
Fahmi berkata, tindakan itu dibuat kerana berlaku penyalahgunaan media sosial itu antaranya dalam isu seperti ekstremisme, fahaman agama melampau, budaya takfiri dan isu yang boleh menjejaskan keharmonian negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!