Murid pedalaman Sabah nikmati tandas sekolah ala hotel

Murid SK Simpang menggunakan tandas yang bersih dan selesa. Foto Bernama
Murid SK Simpang menggunakan tandas yang bersih dan selesa. Foto Bernama
A
A
A

TENOM - Walaupun berada jauh di pedalaman, namun murid-murid serta warga Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang, berhampiran Ulu Tomani, di sini, tidak terkecuali daripada menikmati kemudahan tandas lebih baik, selesa dan ceria, sama seperti sekolah di bandar.

Untuk sampai di sekolah rendah yang diwujudkan pada 2000 di Tenom, daerah yang terkenal sebagai pengeluar kopi terbaik di Sabah, kira-kira 212 kilometer dari Kota Kinabalu itu, mengambil masa lebih kurang empat jam perjalanan.

Sememangnya tandas sekolah itu yang siap dinaik taraf pada November tahun lepas di bawah inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) membawa kegembiraan kepada murid-muridnya kerana kemudahan selesa seperti itu sudah lama mereka nanti-nantikan.

Kegembiraan seramai 86 murid sekolah itu dapat dilihat apabila mereka begitu teruja menggunakan kemudahan tandas berwajah baharu dengan dekorasi sederhana sekali gus menyelesaikan segala masalah berkaitan paip air dan pintu tandas rosak serta berbau busuk yang menjadi rungutan selama ini.

Bagi Morvinly Marius, murid Darjah Enam sekolah itu, beliau bersyukur apabila melihat kerja-kerja menaik taraf tandas sekolahnya siap kerana akhirnya dia dan rakan-rakannya dapat menggunakan tandas sekolah yang lebih selamat serta berfungsi dengan baik.

Murid SK Simpang menggunakan tandas yang bersih dan selesa. Foto Bernama
Murid SK Simpang menggunakan tandas yang bersih dan selesa. Foto Bernama

"Tandas sekolah yang ada sekarang jauh berbeza berbanding sebelum ini.

"Dulu, kalau kami pergi tandas terutama ketika waktu hujan, pakaian kami akan basah kerana tiada laluan berbumbung dan lantai pun licin. Tetapi sekarang tidak lagi,” katanya kepada Bernama.

Artikel Berkaitan:

Turut berkongsi keterujaan ialah Evalissa Anak Spencer, 12, yang mahu rakan-rakannya di sekolah itu menggunakan tandas baharu berkenaan dengan tertib seterusnya menjaga kebersihan agar ia sentiasa wangi dan tidak cepat rosak.

Guru Besar SK Simpang Dr Samuing Andawai berkata pihaknya tidak menyangka akan mendapat kemudahan tandas sekolah yang lengkap itu, selain ruangannya kemas dan cantik menerusi inisiatif KPM itu.

"Ini adalah kali pertama murid-murid di sini dapat menikmati kemudahan tandas seperti sekarang. Walaupun berada di pedalaman, tetapi mereka dapat menggunakan tandas sekolah lebih bagus dan selesa,” katanya yang sudah menerajui sekolah itu selama lapan tahun.

Bagi guru Datu Abdul Wahid Datu Kamaruddin, 34, projek menaik taraf tandas di setiap sekolah secara tidak langsung mampu meningkatkan kesedaran murid mengenai etika dan nilai kebersihan kerana kebersihan tandas adalah elemen penting yang perlu diterapkan dalam diri pelajar.

Ibarat kata pepatah melentur buluh biar dari rebungnya, Datu Abdul Wahid yang berasal dari daerah Kunak itu berpendapat institusi sekolah rendah khususnya adalah medan terbaik dalam mendidik generasi muda tentang rasa tanggungjawab menghargai kemudahan awam disediakan sekali gus mengekang budaya vandalisme.

Guru Norazrina Abdul Razak, 39, yang mengajar Bahasa Inggeris di sekolah itu berkata pendidikan awal sangat penting dalam menyemai semangat dan sikap mengutamakan kebersihan bukan sahaja untuk menjamin kesihatan diri sendiri tetapi juga keindahan persekitaran.

Beliau berkata meskipun hanya penambahbaikan tandas sekolah, tetapi ia jelas memberi impak signifikan kepada murid-murid termasuk dalam aspek keselesaan ketika sesi pengajaran dan pembelajaran memandangkan kemudahan itu terletak berhampiran bilik darjah.

Keadaan tandas SK Simpang yang bersih dan selesa untuk kegunaan murid sekolah itu. Foto Bernama
Walaupun berada jauh di pedalaman, namun murid-murid serta warga SK Simpang, berhampiran Ulu Tomani, di sini, tidak terkecuali daripada menikmati kemudahan tandas lebih baik, selesa dan ceria, sama seperti sekolah di bandar.
Untuk sampai di sekolah rendah yang diwujudkan pada 2000 di Tenom, daerah yang terkenal sebagai pengeluar kopi terbaik di Sabah, kira-kira 212 kilometer dari Kota Kinabalu itu, mengambil masa lebih kurang empat jam perjalanan.
--fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
--fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA.
Keadaan tandas SK Simpang yang bersih dan selesa untuk kegunaan murid sekolah itu. Foto Bernama Walaupun berada jauh di pedalaman, namun murid-murid serta warga SK Simpang, berhampiran Ulu Tomani, di sini, tidak terkecuali daripada menikmati kemudahan tandas lebih baik, selesa dan ceria, sama seperti sekolah di bandar. Untuk sampai di sekolah rendah yang diwujudkan pada 2000 di Tenom, daerah yang terkenal sebagai pengeluar kopi terbaik di Sabah, kira-kira 212 kilometer dari Kota Kinabalu itu, mengambil masa lebih kurang empat jam perjalanan. --fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA --fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA.

"Tandas digunakan setiap hari, jika ia bersih maka murid-murid akan berasa seronok ketika menggunakannya. Guru-guru juga sentiasa mengingatkan murid agar menjaga kebersihan tandas termasuk di rumah dan juga tandas awam,” katanya yang berasal dari Negeri Sembilan dan mengajar di sekolah itu sejak 10 tahun lepas.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Simpang Ruzer Palau berkata kebersihan tandas amat penting kerana ia menjadi cerminan kepada masyarakat namun turut berharap, prasarana lain seperti membina pagar sekolah itu diberi perhatian dalam perancangan pembangunan akan datang.

Sementara itu, Penolong Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tenom Norhayati Abdul Wahab berkata kerja-kerja membaik pulih tandas di kesemua 25 sekolah di bawah penyelenggaraan dan kendalian pejabat itu telah disiapkan mengikut jadual ditetapkan.

Ini termasuk memastikan kemudahan tandas sekolah yang dinaik taraf menerapkan konsep bersih, menarik dan wangi serta mencapai standard penarafan lima bintang, katanya. - Bernama

-- BERNAMA

TAG: Sabah, SK Simpang, Tenom, kemudahan tandas, sekolah pedalaman, kebersihan tandas

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!