Zayn Rayyan dapat anugerah graduasi, ibu sunting gambar bersama

Gambar suntingan bersama Zayn Rayyan dimuat naik Ismanira di media sosial miliknya
Gambar suntingan bersama Zayn Rayyan dimuat naik Ismanira di media sosial miliknya
A
A
A

SHAH ALAM - "Tahniah! Selamat bergraduasi Zayn Rayyan," tulis ibu kepada kanak-kanak autisme yang maut dibunuh, Zayn Rayyan setelah menghadiri Majlis Konvokesyen Sekolah Kebangsaan (SK) Damansara Damai 2, Kuala Lumpur pada Khamis.

Ismanira Abdul Manaf, 29, berkongsi hantaran di Facebook miliknya dengan turut memaparkan gambar suntingan bersama anaknya sebagai tanda kenangan.

Ismanira berkongsi gambar anugerah yang diterima Allahyarham Zayn Rayyan
Ismanira berkongsi gambar anugerah yang diterima Allahyarham Zayn Rayyan

Menerusi perkongsian gambar trofi yang dikongsikan, Allahyarham Zayn menerima Anugerah Peningkatan Terbaik Dalam Kelas Prasekolah Sesi 2023/2024.

"Mommy bangga dengan setiap pencapaian Abang. Tak kira besar atau kecil mana pun pencapaian Abang, mommy tetap bangga.

"Terima kasih kepada warga SK Damansara Damai 2 di atas jemputan ke Majlis Konvokesyen semalam, ia akan menjadi kenangan yang indah buat kami sekeluarga.

"Mommy tak dapat nak bergambar bersama dengan Abang macam ibu bapa yang lain, mommy dapat edit macam ni je," katanya pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Ismanira turut hadir bersama suami dan anak keduanya di Majlis Konvokesyen Sekolah Kebangsaan (SK) Damansara Damai 2, Kuala Lumpur, pada Khamis.
Ismanira turut hadir bersama suami dan anak keduanya di Majlis Konvokesyen Sekolah Kebangsaan (SK) Damansara Damai 2, Kuala Lumpur, pada Khamis.

Pada majlis itu, Ismanira turut hadir bersama suami dan anak keduanya.

Dalam pada itu, menerusi hantaran di Instagram Story, Ismanira membayangkan Zyan yang dipanggil abang itu pasti gembira kerana mendapat banyak hadiah pada majlis tersebut.

"Kalau abang ada ni, memang abang dah tepuk tepuk tangan sambil lompat-lompat sebab gembira dapat hadiah banyak macam ini," katanya.

Hantaran berkenaan mengundang sebak pengikutnya yang turut sama merasai kesedihan atas nasib malang yang menimpa kanak-kanak tersebut.

Zayn Rayyan disahkan dibunuh susulan penemuan mayatnya di anak sungai kira-kira 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Kuala Lumpur, 6 Disember lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini mengesahkan siasatan kes ini sudah melebihi 90 peratus dari segi konvensional, saintifik dan forensik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!