Identiti tiga tentera maut kemalangan dikenal pasti

Tiga anggota tentera maut dalam kemalangan empat kenderaan di Kilometer 75 Lebuhraya Utara Selatan pada Jumaat. Foto JBPM Kedah
Tiga anggota tentera maut dalam kemalangan empat kenderaan di Kilometer 75 Lebuhraya Utara Selatan pada Jumaat. Foto JBPM Kedah
A
A
A

ALOR SETAR - Identiti tiga anggota tentera yang maut dalam kemalangan empat kenderaan di Kilometer 75 Lebuhraya Utara Selatan pada Jumaat telah dikenal pasti.

Ketiga-tiga mereka dikenali sebagai Sarjan Rozali Abdull Rani, 39, Koperal Mohd Asri Idris, 40, dan Lans Koperal Mohd Hafiz Haris, 30.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, tiga trak tentera terbabit dipercayai dari 3 Rejimen Sempadan ke Markas 30 Briged yang mengambil anggota menjalani Eksesais CPX.

Menurutnya, kesemua trak tentera itu bergerak secara konvoi dan pergerakan kenderaan itu mengikut kadar kelajuan 70 kilometer sejam dan jarak antara kenderaan lebih kurang 50 meter.

"Pada jam kira-kira 10.30 pagi, sebuah trak tentera dipercayai mengalami kerosakan dan kemudian berhenti di sebelah kiri lebuh raya.

"Namun secara tiba-tiba sebuah lori yang datang dari arah sama merempuh kenderaan tentera yang berada di sebelah kiri laluan lebuh raya itu menyebabkan tiga anggota tentera terbabit maut di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Beliau berkata, kesemua mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, untuk bedah siasat.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan tiga anggota tentera maut dalam nahas empat kenderaan melibatkan tiga trak tentera dengan sebuah lori Isuzu di Lebuhraya Plus arah utara pada Jumaat.

Ketiga-ketiga mangsa termasuk pemandu trak tentera disahkan maut di tempat kejadian, manakala pemandu lori cedera di bahagian kepala dan badan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!