Bayi jantung berlubang bertarung nyawa perlu bantuan

Nor Aleeya Qalisyah yang berusia empat bulan mengalami masalah saluran jantung tersumbat dan berlubang kini menunggu masa untuk dibedah pada 21 Februari ini
Nor Aleeya Qalisyah yang berusia empat bulan mengalami masalah saluran jantung tersumbat dan berlubang kini menunggu masa untuk dibedah pada 21 Februari ini
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang bapa bimbang dengan nasib serta masa depan seorang daripada bayi kembarnya yang sedang menerima rawatan dan bertarung nyawa di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Faiz Abdullah, 31, berkata, Nor Aleeya Qalisyah yang berusia empat bulan mengalami masalah saluran jantung tersumbat dan berlubang kini menunggu masa untuk dibedah pada 21 Februari ini.

"Saya dan isteri, Maryuni Semaon, 27, hanya tinggal baki 19 hari untuk mengumpul dana secukupnya bagi pembedahan Nor Aleeya Qalisyah di Institut Jantung Negara (IJN) tetapi kami masih tidak mempunyai dana yang cukup untuk kos pembedahan.

"Anggaran kos pembedahan RM55,000. Ketika ini Nor Aleeya Qalisyah masih bergantung dengan bantuan oksigen," katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Faiz berkata, dia bekerja sebagai pemandu lori dan memperoleh pendapatan RM2,000 sebulan manakala isterinya adalah suri rumah selain mereka juga memiliki dua lagi cahaya mata termasuk berusia tujuh dan tiga tahun.

Menurutnya, keluarganya masih dalam proses mengumpul dana bagi pembedahan terbaharu itu dan berharap berjalan lancar tanpa sebarang masalah kerana kegagalan menjalani pembedahan itu boleh mengundang risiko kepada Nor Aleeya Qalisyah.

Nor Aleeya Qalisyah kini bergantung dengan bantuan oksigen dan masih dirawat di HSA, Johor Bahru
Nor Aleeya Qalisyah kini bergantung dengan bantuan oksigen dan masih dirawat di HSA, Johor Bahru

Dia berkata, sebelum ini anaknya itu sudah dua kali menjalani pembedahan dan pihak Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) menanggung sebahagian kos pembedahan manakala selebihnya mereka menggunakan wang simpanan RM30,000.

Artikel Berkaitan:

Dua pembedahan tersebut ujarnya, termasuk bagi mengatasi masalah saluran jantung tersumbat selain pembedahan bagi menyedut air berlebihan dalam jantung yang membabitkan kos RM100,000.

Dia yang tinggal di Taman Universiti, Skudai di sini berkata, mereka reda dengan ujian Allah itu sehingga mengakibatkankan adik kembar lelaki Nor Aleeya Qalisyah iaitu Muhammad Khalif terpaksa berpisah dengannya.

Katanya, pada awalnya selepas dilahirkan Muhammad Khalif didapati mengalami jangkitan kuman dan mendapat rawatan di HSA selama beberapa hari sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

"Namun pada masa sama, Nor Aleeya Qalisyah terpaksa dikejarkan ke HSA kerana pernafasannya laju dan tidak sangka didiagnos mengalami masalah saluran jantung tersumbat selain doktor mengesan jantungnya berlubang sebesar 8 hingga 9mm sebelum dibedah dua kali.

"Muhammad Khalif dalam keadaan sihat dan harapan kami mereka dapat membesar bersama sebagai anak soleh dan sentiasa dilindungi Allah," katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada Nor Aleeya Qalisyah menerusi akaun CIMB milik Faiz 7631044406 atau hubungi talian 017-728 8947.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!