Naik harga air hingga 20 peratus, Najib bidas kerajaan Pulau Pinang
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membidas Kerajaan Pulau Pinang yang berhasrat untuk menaikkan harga air di negeri itu sebanyak 20 peratus tahun ini.
Menurut Najib, kenaikan tersebut adalah yang keempat berlaku dalam tempoh 10 tahun sejak DAP berjaya menguasi negeri itu pada tahun 2008.
Jelasnya, menteri-menteri PH juga sudah dimaklumkan bahawa kenaikan tarif air itu tidak membebankan rakyat.
"Sebelum rakyat memberi kuasa kepada DAP untuk memerintah dan menguasai kerajaan pusat pada PRU14.
"Rakyat sepatutnya menilai prestasi DAP dengan lebih mendalam selepas mereka memerintah di Pulau Pinang pada tahun 2008 dan tidak senang terperangkap oleh propaganda-propaganda licik mengenai 'kejayaan' mereka," katanya dalam satu kenyataan menerusi akaun Facebook miliknya di sini hari ini.
Najib turut menyenaraikan beberapa kebenaran di sebalik propaganda DAP di Pulau Pinang iaitu menaikkan cukai tanah dan cukai pembangunan sehingga rumah-rumah di Pulau Pinang tidak mampu dimiliki rakyat.
"Perbelanjaan tahunan operasi negeri meningkat 500 peratus pada tempoh sembilan tahun DAP memerintah.
"Baru dilaporkan bahawa defisit Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk tahun 2017 pun naik 70 kali ganda," jelasnya.
Selain itu, Najib mendedahkan beribu-ribu hektar tanah dan hak tanah kerajaan sudah dijual atau digadaikan.
"Projek-projek negeri yang luar biasa mahalnya seperti Projek Lebuh Raya Pan-Island Link 1 sepanjang 19.5kilometer (km) bernilai RM9 bilion iaitu RM461 juta bagi setiap km.
"Kos laporan projek terowong pun RM305 juta dan masih tidak siap selepas enam tahun," ujar beliau.
Ujar beliau, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri lain seperti Negeri Sembilan, Melaka dan Johor pada tempoh sembilan tahun.
"Penurunan 90 peratus hutang negeri akibat pertolongan kerajaan pusat pun mereka curi kredit sebagai "kejayaan" mereka.
"Apa yang mereka buat di Pulau Pinang pada masa itu boleh bertahan untuk jangkamasa pendek dan sederhana tetapi jelas ini bukan langkah yang betul bagi jangkamasa panjang dan masa depan sesebuah negeri atau negara," ujarnya.
Tidak mustahil DAP akan menjalankan di peringkat negara apa yang mereka pernah buat di Pulau Pinang dahulu kerana mereka telah menguasai kerajaan pusat.
"Harga akan naik berkali-kali dan semua aset-aset negara akan dijual seperti di Pulau Pinang dahulu," katanya.
Terdahulu Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow ketika ditemui pemberita di negeri itu memaklumkan bawaha pihaknya kini masih di peringkat perbincangan dengan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli berhubung kadar kenaikan sebenar yang akan dicadangkan.
Katanya, kerajaan negeri juga akan memansuhkan surcaj pemuliharaan air (WCS) yang kini dikenakan pada tahap 48 sen bagi setiap 1,000 liter sebaik sahaja kadar tarif air baharu dilaksanakan kelak.
Kon Yeow menjelaskan, Pulau Pinang juga tidak terkecuali dengan kenaikan tarif air yang dicadangkan itu kerana ia selaras dengan Kerajaan Pusat.
Bagaimanapun, ia belum dimuktamadkan mungkin akan naik 20 peratus atau lebih.
Bagaimanapun, Kon Yeow memberi jaminan meskipun tarif air itu akan dinaikkan, namun kadar yang dikenakan di negeri ini masih paling rendah berbanding negeri-negeri lain.
Ketika ini, kadar tarif air yang dikenakan kepada pengguna di negeri ini adalah sebanyak 32 sen bagi setiap 1,000 liter bagi penggunaan 35,000 yang pertama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!