Pesara bomba berjaya kesan pelarian warga Rohingya

Mohamad Yunus bersama penduduk mengiringi keluar empat tahanan yang ditemukan dalam hutan berhampiran perkampungan Orang Asli, Kampung Sanding, Bidor.
Mohamad Yunus bersama penduduk mengiringi keluar empat tahanan yang ditemukan dalam hutan berhampiran perkampungan Orang Asli, Kampung Sanding, Bidor.
A
A
A

TAPAH - Pesara Bomba bersama beberapa penduduk kampung berjaya membantu polis membuat tangkapan terhadap empat pelarian warga Rohingya yang bersembunyi di dalam hutan berhampiran penempatan Orang Asli Kampung Sanding di Bidor pada Jumaat.

Tindakan bekas Timbalan Ketua Pengajian Penyelamat di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah, Mohamad Yunus Abu akhirnya berjaya menjejaki keempat-empat warga asing terbabit sekitar jam 3.30 petang.

Keempat-empat warga Rohingya kemudian diserahkan kepada pihak polis dan dibawa semula ke Depot Imigresen Sementara Bidor.
Keempat-empat warga Rohingya kemudian diserahkan kepada pihak polis dan dibawa semula ke Depot Imigresen Sementara Bidor.

Menurut Mohamad Yunus, 45, mereka ditemukan pada jarak 15 kilometer dari Depot Imigresen Sementara Bidor dalam keadaan lemah dipercayai kelaparan.

"Kami menerima panggilan daripada polis yang meminta bantuan untuk cari pelarian ini. Saya dan rakan-rakan bergerak masuk ke dalam hutan dan menemukan jejak dalam semak seperti baru dilalui.

"Ketika dikepung, kami minta mereka jangan lari dan buka baju kerana bimbang mereka membawa senjata sebelum mengikat tangan dengan baju dan kain," katanya ketika ditemui di sini.

Salah seorang penduduk memberikan air minuman kepada tahanan selepas berjaya dibawa keluar dari hutan.
Salah seorang penduduk memberikan air minuman kepada tahanan selepas berjaya dibawa keluar dari hutan.

Mohamad Yunus yang bersara pilihan Januari 2021 terpaksa berjalan kaki lebih 500 meter untuk membawa keluar kesemua tahanan dan diserahkan kepada pihak polis.

Artikel Berkaitan:

Keempat-empat tahanan terbabit merupakan sebahagian 130 pelarian yang masih dikesan polis selepas merusuh dan melarikan diri dari depot berkenaan pada malam Khamis.

Sementara itu, penduduk, Aman Kasim, 41, berkata, kehadiran warga asing itu disedari apabila mereka meminta bantuan dengan meminjam telefon.

"Ketika itu saya sedang berbaring di rumah menonton televisyen terkejut dipanggil kerana mahu pinjam telefon.

"Saya tidak beri kerana tiada telefon bimbit. Mereka kemudian bertanyakan arah ke kawasan bandar dan terus saya tunjukkan," katanya.

Empat daripada 130 warga Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor berjaya dikesan di Kampung Sanding di Bidor.
Empat daripada 130 warga Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor berjaya dikesan di Kampung Sanding di Bidor.

Tambah Aman, dia terus memaklumkan kepada tok batin akan kehadiran 'orang luar' itu sebelum menghubungi pihak polis.

Tok Batin, Aziz Bah Meruang, 45, ketika ditemui berasa lega dengan tindakan pantas penduduk dan polis berjaya menahan semula pelarian itu.

"Saya berasa tidak sedap hati dengan kehadiran mereka. Saya berasa risau kerana tidak pernah berlaku perkara begini.

"Kami penduduk kampung berasa risau selepas dapat berita mereka melarikan diri. Kami bimbang kerana ada lagi yang belum ditangkap dan takut kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!