Elly Mazlein cipta rekod baharu
PENYANYI Elly Mazlein mencipta rekod apabila video muzik single terbaharunya, Sayap yang disiarkan di saluran TV Pop-Up diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pelancaran video muzik terpanjang di negara ini.
Sayap yang merupakan single terbaru Elly Mazlein itu ditayangkan selama 48 jam bermula 12 tengah malam pada 25 Jan lalu menerusi saluran istimewa penyanyi terbabit.
Elly Mazlein merupakan artis pertama naungan Rocketfuel Entertainment yang diiktiraf MBOR menerima penghargaan sedemikian.
Selebriti versatil itu turut meluahkan rasa terujanya apabila menerima penganugerahan berkenaan.
“Saya sangat gembira dan berterima kasih atas pengiktirafan yang diberikan.
“Saya juga bersyukur dan berbangga kerana dengan anugerah ini, ia memberikan saya semangat yang lebih tinggi untuk menjayakan kelahiran Sayap sebagai buah tangan terbaru pada permulaan 2024 ini,” katanya.
Selama tempoh bersiaran selama 48 jam, peminat penyanyi Satu Kepastian itu berpeluang meneroka dunia seninya dengan pelbagai pengisian menarik termasuk video muzik Sayap, temu bual eksklusif dan rakaman di sebalik pembikinan muzik video berkenaan.
Format unik itu ditampilkan untuk memberi pendekatan baru yang lebih interaktif serta menggembirakan peminat sekali gus membolehkan mereka lebih mendekati dan meraikan kemunculan semula Elly Mazlein.
Sementara itu MBOR pula berkata penghargaan sedemikian diharap dapat menyuntik semangat kepada penghibur lain untuk terus mencipta nama.
“Kami mengucapkan tahniah kepada Rocketfuel Entertainment selaku pihak syarikat rakaman bagi Elly Mazlein atas pencapaian ini.
“Kami berharap untuk terus mengiktiraf lebih banyak pencipta rekod tempatan untuk sebarang pencapaian seperti ini lagi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!