Anak terkilan tak dapat jumpa ibu
IPOH - "Mak ada cakap rindu dan nak jumpa saya tetapi sebab jadual kerja sibuk, saya tak dapat balik bercuti," kata K Yogambigai, 31, yang terkilan apabila tidak sempat bertemu ibunya yang maut dalam kemalangan melibatkan lapan kenderaan di Kilometer 246.1 Lebuhraya Utara Selatan malam tadi.
Dalam kejadian sekitar jam 10. 20 malam itu, ibunya, S Thavamalar, 52, bersama dua rakan, K Mahindren, 56, dan K Aruna, 56, meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta jenis Honda BRV dinaiki mereka merempuh bahagian belakang sebuah treler.
Yogambigai yang bertugas sebagai anggota polis berpangkat lans koperal di Bukit Aman berkata, kejadian itu berlaku ketika semua mangsa bersama tiga lagi rakan ibunya dalam perjalanan pulang selepas menghadiri upacara sembahyang di sebuah kuil di Kuala Kangsar.
Menurutnya, keenam-enam mereka merupakan ahli sebuah persatuan dan aktif mengikuti upacara keagamaan di kuil-kuil termasuk di luar Perak.
"Kali terakhir saya jumpa mak bulan lepas dan baru-baru ini kami ada berhubung dalam telefon, dia cakap nak sangat jumpa saya.
"Saya sudah bercadang untuk balik sempena cuti raya Cina ini tetapi nampaknya tak kesampaian, mak dah pergi dulu," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.
Nahas membabitkan sebuah treler, lima kereta dan dua motosikal itu turut mengakibatkan lima yang lain parah, lima cedera ringan, dua mengalami patah sementara tiga termasuk pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.
Anak saudara kepada Aruna, G Mohabeshwari, 21, berkata, kejadian itu diketahui selepas panggilan telefon yang dibuat kepada mendiang dijawab oleh orang awam.
"Selalunya jam 10 malam, mereka sudah pulang ke rumah tetapi tidak malam tadi, jadi kami semua hubungi mendiang beberapa kali sehinggalah orang awam menjawab panggilan dan maklumkan ada kemalangan teruk berlaku," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiga maut nahas 7 kenderaan di Kuala Kangsar
ARTIKEL BERKAITAN: Tayar treler pecah punca nahas
Dia berkata, kejadian turut menyebabkan kakak Aruna, K Amutha, 57, yang menaiki kenderaan sama cedera parah di kepala dan masih tidak sedarkan diri ketika dirawat di unit rawatan rapi (ICU) HRPB.
"Kali terakhir kami berjumpa pada sambutan tahun baru lepas dalam satu majlis keluarga, mak cik seorang yang baik dan memang selalu ikut rakan-rakannya ke upacara keagamaan," katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisoner Razali Ibrahim berkata, nahas dipercayai berlaku apabila tayar hadapan sebelah kanan treler dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun telah pecah mengakibatkannya hilang kawalan lalu menghimpit penghadang besi jalan di lorong kanan sebelum berhenti pada jarak 100 meter di hadapan.
"Ketika itu datang sebuah kereta dinaiki mangsa dari lorong kanan tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian belakang treler dan berpusing masuk ke lorong kiri.
"Enam kenderaan lain yang datang dari arah belakang iaitu kereta jenis Perodua Axia, Toyota Inova, Proton Waja, Honda Jazz serta dua motosikal gagal mengelak dan saling merempuh," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!