Budak 11 tahun dikhuatiri lemas, rakan terselamat
LAHAD DATU - Seorang kanak-kanak lelaki sempat diselamatkan oleh orang ramai manakala seorang lagi rakannya dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Tabanak di Kampung Tabanak, di sini pada Jumaat.
Namun identiti dua kanak-kanak berusia 11 tahun itu belum diketahui setakat ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.39 petang.
Katanya, seramai 10 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh lima kilometer dari BBP Lahad Datu.
"Menurut pemanggil, terdapat dua mangsa lemas ketika melakukan aktiviti mandi di sungai bersama rakan.
"Seorang mangsa sempat diselamatkan oleh orang awam manakala seorang lagi masih hilang. Operasi SAR segera dilakukan dengan menelusuri tepi sungai sejauh tiga kilometer dari lokasi mangsa dilihat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Katanya lagi, operasi turut dilakukan dengan menggunakan kaedah pencarian di atas air menggunakan bot penyelamat.
"Bagaimanapun setakat ini mangsa belum ditemui dan maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!