Najib berhak mohon pengampunan, biarpun kes lain masih berjalan - Pakar Perlembagaan

Peraturan penjara membenarkan permohonan dibuat oleh mana-mana pesalah atau banduan, tanpa mengira status individu tersebut. - Gambar fail/Bernama, gambar kecil: Nik Ahmad Kamal
Peraturan penjara membenarkan permohonan dibuat oleh mana-mana pesalah atau banduan, tanpa mengira status individu tersebut. - Gambar fail/Bernama, gambar kecil: Nik Ahmad Kamal
A
A
A

KUALA LUMPUR - Permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk proses pengampunan tidak akan memberi kesan terhadap perjalanan kes beliau yang lain di mahkamah.

Pakar Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, peraturan penjara membenarkan permohonan dibuat oleh mana-mana pesalah atau banduan, tanpa mengira status individu tersebut.

“Daripada bacaan saya, saya lihat orang ada kata kalau seorang itu ada kes yang sedang berjalan, tak selesai, maka Lembaga Pengampunan tak mengambil kira permohonan itu ... tapi itu saya rasa persepsi salah.

“Lembaga Pengampunan terima apa jua permohonan dan apabila kes itu dipohon, pengampunan dipohon, Lembaga akan melihat dan buat keputusan. Jika tak diberi pengampunan, maka kes tak boleh diulang mohon sehingga tiga tahun, itu dalam peraturan penjara.

“Jadi, saya rasa apa yang perlu kita lihat, kita tidak perlu persoalkan isu bahawa kerana Najib ada kes di mahkamah, maka tak boleh buat permohonan pada kes yang disabitkan. Bermula setelah tamat kes di peringkat tertinggi (Mahkamah Persekutuan) ... jadi tidak kira kalau sama ada seseorang itu masih ada kes di mahkamah,” katanya lagi.

Lembaga Pengampunan pada Jumaat memaklumkan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersetuju mengurangkan hukuman dan denda yang dikenakan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

Lembaga tersebut mengesahkan hukuman penjara bekas Perdana Menteri itu dikurangkan daripada 12 tahun ke 6 tahun, dan denda terhadapnya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Namun Lembaga berkata, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara bagi bekas Perdana Menteri itu ditambah selama setahun dimana tarikh pembebasan beliau adalah pada 23 Ogos 2029.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Nik Ahmad Kamal berkata, tidak perlu membuat perbandingan antara jenis pengampunan yang Najib terima dengan pengampunan berprofil tinggi yang terjadi sebelum ini.

“Setiap kes ada karakter, ada latar belakang berbeza. Setiap kes dilihat secara persendirian, bukan pada kes lepas. Kuasa pengampunan terletak pada Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Lembaga Pengampunan. Kalau setiap kes dilihat mengikut lepas, sukar nak buat keputusan.

“Kadang-kala apabila kes dibentangkan, ada persamaan ada perbezaan. Sebab itu saya rasa Lembaga Pengampunan tidak lihat pada kes duluan, tetapi lihat dari segi 'characteristic'. Di masa hadapan, jika ada kes yang seakan-akan sama, maka ia akan dilihat secara tersendiri dan tidak dirujuk pada kes lepas,” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!