Tiada arahan majlis konvokesyen Tabika, Taska Kemas dianjur di hotel
KOTA SAMARAHAN - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah tidak pernah mengeluarkan arahan untuk Tabika dan Taska Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) mengadakan majlis konvokesyen di hotel, kata Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang.
Beliau berkata, pihak Kemas turut mengeluarkan garis panduan untuk majlis sedemikian diadakan secara bersederhana dan tidak membebankan ibu bapa.
"Ia bergantung kepada jawatankuasa pengurusan tabika itu...sebenarnya niat mereka baik untuk cuba memberi satu pengiktirafan dengan mengadakan konvokesyen di tempat yang cantik dan menarik tetapi perkara ini tiada garis panduan, arahan serta pekeliling yang menyatakan ia perlu diadakan di hotel.
"Kita mengambil maklum perkara ini, ia suatu perkara yang kita ambil perhatian,” katanya dalam sidang media selepas perasmian Karnival Mini Usahawan Desa di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas keluhan ibu bapa di beberapa platform di media sosial yang tidak bersetuju majlis konvokesyen anak mereka diadakan di hotel atau lokasi yang memerlukan perbelanjaan besar.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kemas, Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi berkata, pihaknya telah memaklumkan kepada semua pengarah negeri agar setiap tabika serta taska mengadakan mesyuarat dengan ibu bapa bagi menentukan lokasi majlis graduasi mengikut persetujuan kedua-dua belah pihak.
"Di peringkat jabatan kita tidak mengeluarkan peruntukan khusus. Kita juga beri arahan supaya pengarah negeri memantau dari segi perancangan program,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!